Ahad, 1 Mac 2020

Kedudukan Mukhriz di Kedah tidak kukuh - Ketua Umno Langkawi

Wan Syamsul Amly, Astro Awani
Kedudukan Mukhriz di Kedah tidak kukuh - Ketua Umno Langkawi
Mukhriz sebelum ini dilaporkan berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah kekal dipimpinnya selepas 19 Adun PH Kedah, bersetuju untuk menyokong kepimpinan beliau. - Gambar fail/Astro AWANI
 
 
LANGKAWI: Kedudukan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Kelapan kini diibarat tidak lagi kukuh seperti diumumnya sebelum ini.

Ketua UMNO Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad menegaskan, pergolakan Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu di Pusat menjadi cabaran besar buat kerajaan negeri untuk mengekalkan kepimpinan Mukhriz seperti sedia ada.

Jelasnya, keputusan yang diambil di Pusat perlu diikut oleh kepimpinan negeri

"Keadaan tidak selaras ini tidak lama, kerana apabila Pusat sudah reda keadaan maka akan berlaku perubahan di negeri juga kerana arahan daripada ketua di Pusat mesti diikuti anak buah mereka di negeri.

"Contoh macam sekarang Pas ada 15 kerusi, Umno ada dua, jadi 17 di situ. Ada 36 kerusi bahagi dua, 18, jadi kalau ada kumpulan Azmin, maka Kedah sepatutnya bertukar pemerintahan kepada Pas kerana mereka majoriti.

"Tambahan kita sekarang sudah bersama, pada pendapat saya sekarang macam di Johor ada persefahaman. Di Kedah sekiranya di Pusat telah stabil dengan Muafakat Nasional campur Bersatu dan kumpulan negeri ini akan mengikut apa yang berlaku di Pusat," katanya ketika ditemui di sini, pada Ahad.

Mukhriz sebelum ini dilaporkan berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah kekal dipimpinnya selepas 19 Adun PH Kedah, bersetuju untuk menyokong kepimpinan beliau meskipun sebarang kata sepakat di peringkat pusat masih belum dapat dicapai.

Menurut Mukhriz, tindakan mewujudkan kepimpinan kerajaan negeri yang berstatus PH dan Bersatu ini adalah bagi menjamin kesepakatan serta proses perjalanan kerajaan negeri Kedah berjalan seperti biasa.

Sebelum ini juga, Ketua Pembangkang Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah dijangka tidak mampu bertahan lama dan akan berpecah tidak lama lagi.

Jelasnya, keputusan gabungan bagi membentuk kerajaan negeri di bawah pimpinan Mukhriz akan berubah selewat-lewatnya pada Isnin.

Tiada ulasan: