Dilaporkan 12,500 orang sertai program di Masjid Seri Petaling

KUALA LUMPUR – Di sebalik angka 16,000 yang banyak disebut, data rasmi Masjid Seri etaling menunjukkan lebih kurang 12,500 orang termasuk 1,600 tetamu
luar negara menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling dari 28
Feb hingga 2 Mac.
Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah &
Tabligh Malaysia Abdullah Cheong dalam satu kenyataan hari ini berkata
bermakna kehadiran peserta tempatan adalah sekitar 11,000 orang.
Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan
(KKM) setakat 19 Mac sekitar 10,500 peserta ijtimak sudah pun disaring,
bermakna hanya sekitar 500 peserta tempatan yang belum disaring bagi
membendung penularan COVID-19, katanya.
Selain itu dalam kenyataan sama, beliau
juga menolak dakwaan terdapatnya ribuan warga Rohingya yang telah
menyertai ijtimak itu memandangkan rekod rasmi menunjukkan bilangan
peserta Rohingya hanya sekitar 200 orang dan dari Myanmar pula 150
orang.
“Data rasmi Masjid Seri Petaling
menunjukkan jumlah peserta yang bersolat maghrib di masjid itu pada 29
Feb, termasuk tetamu luar negara dan mereka yang mempunyai tugas khidmat
seperti menjaga trafik, memasak dan menjaga ruang parkir, adalah
sekitar 12,500 orang.
“Kiraan sekitar 12,500 orang ini bukanlah
jumlah yang baharu kami dapat, malah ini merupakan rekod dari Syukbah
(bahagian) Pendataan untuk pendaftaran setiap kali berlangsungnya
ijtimak yang dilakukan selama bertahun-tahun lamanya,” katanya.
Abdullah turut menjelaskan Syukbah
Pendataan dilakukan melalui data logik berdasarkan keluasan tempat
ijtimak dan jumlah yang hadir memandangkan ijtimak seumpama itu sering
dianjurkan.
“Sebagai contoh, sayap kanan masjid boleh
memuatkan 1,700 orang (85 orang bagi setiap saf x 20 saf) manakala baki
lima saf lagi dikhaskan untuk beg peserta ijtimak. Sementara di
bahagian tetamu luar yang berlantai marmar, boleh memuatkan 840 orang
(42 orang setiap saf x 20 saf).
“Jumlah kehadiran ijtimak, kami kira
semasa solat didirikan berdasarkan kiraan kepala dalam setiap saf dan
bukanlah anggaran semata-mata. Ini adalah bagi memudahkan pengurusan
makanan dan tempat tinggal untuk semua peserta ijtimak,” katanya.
Menurut Abdullah lagi, terdapat beberapa
trend kehadiran dan jumlah peserta dalam saf sepanjang ijtimak
berlangsung seperti jumlah peserta paling ramai dicatat pada setiap
waktu maghrib pada Sabtu malam serta waktu maghrib dan zohor
memandangkan sebahagian besar jemaah mengamalkan solat jamak.
Mengenai saringan dan pemeriksaan kesihatan, Abdullah menjelaskan
pihaknya menerima banyak laporan mengenai peserta ijtimak yang telah
pergi ke pejabat kesihatan daerah ataupun hospital berhampiran
terutamanya pada beberapa hari pertama.
“Apabila mereka tidak menunjukkan
sebarang gejala, mereka telah minta pulang ke rumah masing-masing dan
dikuarantin selama 14 hari. Namun kami khuatir butiran mereka tidak
direkod sebelum dihantar pulang.
“Jadi, apabila terdengar laporan yang
mengatakan ribuan peserta ijtimak belum disaring, ramai antara mereka
telah pergi berkali-kali ke pejabat kesihatan atau hospital sehingga
nama dan butiran mereka direkodkan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan