Masih ramai berdegil pada permasalahan disifat sebagai serius

BANGI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
digesa berkeras kepada mana-mana pihak yang ingkar atau sengaja tidak
mematuhi arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh
kerajaan dalam usaha menangani penularan COVID-19.
Gesaan itu dilontarkan Naib Pengerusi
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari
susulan kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang masih tidak “faham
bahasa”.
Beliau berkata, walaupun nampak seperti
satu jenaka apabila tular video pihak polis menegur masyarakat berkenaan
kedegilan mereka tidak mengikuti PKP, namun hakikatnya ia sesuatu yang
serius.
“Saya muat naik video ini sebagai salah
satu kenangan manis anggota PDRM kita yang bertugas tetapi sebenarnya
mereka sayang kepada keselamatan masyarakat. Marah-marah sayang,”
katanya hari ini.
Dalam video berdurasi 30 saat itu
memaparkan seorang anggota polis memberi arahan kepada penduduk sekitar
untuk berada di dalam rumah dan tidak berkumpul di luar rumah.
“…ada dengar arahan ke tidak ada dengar.
Mahu cakap macam mana lagi supaya boleh faham. Suruh duduk dalam rumah,
duduk dalam rumah jangan keluar,” kata polis berkenaan.
Video itu bukan sesuatu yang baharu
memandangkan sudah banyak video tular di media sosial menunjukkan
anggota polis memberi arahan kepada rakyat supaya mematuhi arahan
pelaksanaan PKP.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin merayu rakyat Malaysia agar mematuhi PKP yang
dilaksanakan kerajaan pada 18 Mac lalu.
Muhyiddin menegaskan, tujuan utama
perintah itu dikeluarkan adalah mengelakkan penularan wabak COVID-19,
dan ia tidak akan berjaya jika pergerakan rakyat terutamanya pergerakan
balik kampung berterusan.
Hari ini ATM akan digerakkan dalam usaha mengurangkan pergerakan rakyat, namun ia bukanlah satu perintah darurat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan yakin dengan bantuan
tentera, tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kawalan pergerakan
akan lebih tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan