Jumaat, 20 Mac 2020

Diskaun bil elektrik 2 peratus selama 6 bulan

ainulillia 

 

Tiada pemotongan bekalan elektrik bagi pengguna lambat bayar

BANGI – Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan, diskaun bil elektrik sebanyak dua peratus akan diberikan kepada semua pengguna elektrik bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September.

Katanya, pemberian diskaun itu adalah bagi membantu meringankan beban rakyat, dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar, berikutan kesan penularan COVID-1.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk memberi diskaun 15 peratus bagi penggunaan elektrik kepada enam sektor perniagaan terpilih iaitu hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks beli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

“Diskaun 15 peratus ini membabitkan kira-kira 10,000 pemilik akaun daripada enam sektor perniagaan terpilih yang mengguna pakai Tarif Perdagangan sahaja.

“Pemberian diskaun bagi tempoh ini juga akan memberi impak pengurangan bil elektrik RM40 juta bagi Semenanjung, RM20 juta bagi Sabah dan RM8.5 juta bagi Sarawak,” katanya dalam kenyataannya, hari ini

Pada masa sama, Tenaga Nasional Berhad dan Sabah Electricity Sdn Bhd tidak akan membuat pemotongan bekalan elektrik bagi pengguna-pengguna yang lewat membayar elektrik bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa iaitu pada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020.

Terdahulu, ekoran penularan wabak COVID-19, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuat kuasa pada Rabu.

Perintah tersebut melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.


Tiada ulasan: