Peruntukan khas kepada petugas barisan hadapan kesihatan
MELAKA –
Kerajaan Negeri Melaka hari ini mengumumkan lapan insentif khas
melibatkan peruntukan RM6.53 juta, bagi membantu rakyat terjejas dan
usaha mengekang menularan COVID-19.
Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali
berkata, salah satu insentif itu adalah peruntukan khas bagi petugas
barisan hadapan kesihatan, yang sedang merawat dan mengawal penularan
pandemik itu.
Beliau berkata, insentif lain melibatkan
insentif penjaja dan peniaga kecil; penangguhan bayaran denda lewat
cukai tanah; penangguhan bayaran denda lewat cukai petak atau strata.
“Penangguhan bayaran TAPEM (Tabung Amanah
Pendidikan Melaka) tiga bulan sehingga Jun ini; pengurangan sewa
bulanan rumah Lembaga Perumahan Melaka (LPM); pengurangan bayaran bil
air 10 peratus bulan ini dan bulan depan bagi pemilik dan penyewa rumah
kos rendah dan penangguhan bayaran bil air bulan ini.
“Nantikan lagi pengumuman insentif khas
penerima bantuan Majlis Agama Islam Melaka dalam waktu terdekat,”
katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata, insentif itu dijangka
memberi manafaat kepada 355,000 pembayar cukai tanah; 35,000 pembayar
cukai petak; 7,400 peminjam TAPEM; 1,462 penyewa rumah LPM; dan 260,000
pengguna air domestik Melaka.
“Saya percaya pengumuman insentif ini
dapat melegakan dan membantu penerima ketika berdepan penularan COVID-19
ini,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan