Ahad, 15 Mac 2020

Covid-19: Henti eksport topeng muka, semak semula harga siling

Wartawan MalaysiaGazette
MGF270120_HUMAN-INTEREST-CORONAVIRUS04
Topeng penutup mulut dan hidung digunakan bagi mencegah jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV). Foto tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Hospital Kuala Lumpur. -- SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta menyemak semula harga siling penutup hidung dan mulut itu kerana kos pengeluarannya sudah meningkat, seiring dengan kenaikan kos bahan mentah dan kos-kos berkaitan disebabkan pandemik koronavirus.

Ini kerana, pengeluar-pengeluar penutup hidung dan mulut tidak mampu mengeluarkan produk dan memenuhi harga siling yang ditetapkan di kedai-kedai, kata Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang.

Malahan, kapasiti pengeluar-pengeluar tempatan juga rendah berbanding permintaan terhadap alat perlindungan itu.

”Para peruncit kini mengalami masalah untuk menjual penutup hidung dan mulut pada harga kawalan, akibatnya berlaku kekurangan bekalan kepada rakyat.

”Peruncit juga tidak dapat menjual penutup hidung dan mulut pada harga kawalan kerana kos pengimportan bahan-bahan dari luar negara meningkat disebabkan permintaan pasaran global dan penurunan nilai ringgit,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu MPS menyatakan kebimbangan berhubung serbuan dan penalti yang dikenakan terhadap komuniti farmasi kerana menjual penutup hidung dan mulut melepasi harga siling.

Ini mengambil kira cadangan awal MPS yang mahu kerajaan menghentikan eksport penutup hidung dan mulut dan menyemak semula harga siling ekoran masalah bekalan daripada pengilang-pengilang tempatan untuk mendapatkan bahan mentah.

”Kita semua tahu bahawa China adalah pengeluar topeng muka terbesar dan negara itu telah mengharamkan eksport.

“Malaysia pula mempunyai empat buah kilang untuk menghasilkan penutup hidung dan mulut, dua daripadanya menyediakan bekalan kepada kemudahan penjagaan kesihatan awam. Satu lagi pula untuk eksport, tinggal satu lagi kilang untuk memenuhi keperluan 32.6 juta rakyat Malaysia.

”Disebabkan itu ketika bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan pengilang tempatan akan membekalkan 10 juta penutup hidung dan mulut dalam beberapa minggu lagi, sehingga hari ini masih tidak diketahui.

”Menteri Kesihatan yang baru Datuk Seri Dr Adham Baba pula berkata bekalan akan diagihkan tidak lama lagi tapi tidak memaklumkan secara terperinci,” kata Amrahi.

Lantaran itu, MPS menegaskan kerajaan perlu mengawal pembuatan dan pengagihan penutup hidung dan mulut yang masih kekurangan dalam pasaran tempatan di tengah-tengah kebimbangan penularan wabak Covid-19,” tambahya.

MPS turut mencadangkan kerajaan mendapatkan pengeluar-pengeluar alat itu untuk berkongsi data pengeluaran harian secara telus supaya rakyat serta peruncit tahu.

Melalui data itu, kerajaan dapat memberi panduan kepada pengeluar untuk mengedarkan topeng di seluruh Malaysia secara adil, jika mungkin, melalui komuniti farmasi kerana paling mudah diakses. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: