Selasa, 17 Mac 2020

4 loji air di Selangor ditutup akibat pencemaran bau

(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Operasi 4 loji rawatan air (LRA) di Selangor terpaksa dihentikan 7 malam tadi akibat pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berkata, bacaan pencemaran bau di tahap 2 ton setakat 8 malam tadi menyebabkan LRA Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihentikan buat sementara.

Katanya, gangguan bekalan air dijangka berlaku di 7 kawasan, iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Pihak Air Selangor telah melaporkan insiden pencemaran ini kepada Lembaga Urus Air Selangor untuk tindakan lanjut.

“Air Selangor akan menyalurkan maklumat kawasan gangguan bekalan kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor, termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

“Dalam tempoh ini, pengguna dinasihat menggunakan air secara berhemat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Pada 21 Dis tahun lalu, LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih disebabkan pihak yang membuang sisa buangan haram dengan bau pelarut di lurang pembentungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

Susulan penutupan itu sebanyak 366 kawasan membabitkan 328,957 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.

Tiada ulasan: