Selasa, 17 Mac 2020

Pemimpin Umno gesa bank tangguh bayaran balik pinjaman akibat Covid-19

Sharkar Shamsuddin berharap Bank Negara akan mengarahkan 
bank tampil dengan skim penangguhan bayaran balik pinjaman 
untuk menangani ketakutan dan kebimbangan rakyat akibat 
Covid-19.
 
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno Pahang menggesa sektor perbankan menangguhkan kutipan bayaran daripada peminjam bagi membantu orang ramai berdepan kesulitan akibat penularan Covid-19 yang memaksa kerajaan mengehadkan aktiviti ekonomi.

Adun Lanchang, Sharkar Shamsuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan semalam untuk mengelakkan penularan pandemik itu perlu dilaksanakan, tetapi ia juga bermakna rakyat berdepan lebih banyak tekanan kewangan.

“Lebih ramai orang akan melihat pendapatan mereka terjejas dan ini akan menambah tekanan mereka,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, bank perlu berhenti mengutip bayaran balik pinjaman, termasuk daripada perniagaan, serta menangguhkan bayaran balik untuk pinjaman peribadi, perumahan dan kenderaan.

“Jika mereka tidak berbuat demikian dengan sendiri, saya harap Bank Negara sekurang-kurangnya akan mengarahkan mereka tampil dengan skim penangguhan bayaran hutang untuk menangani ketakutan dan kebimbangan rakyat,” kata Sharkar yang juga exco pelancongan, alam sekitar dan perladangan Pahang.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pengharaman perhimpunan besar-besaran untuk kegiatan agama, sukan, sosial dan kebudayaan, manakala sekolah, premis kerajaan dan perniagaan pula ditutup mulai esok hingga 31 Mac ini.

Hanya perkhidmatan penting dan pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan juga perkhidmatan utiliti, termasuk sektor perbankan dibenarkan terus beroperasi.

Sharkar merayu pihak berkuasa tidak mengecualikan pendatang asing tanpa izin dalam pelan pembendungan Covid-19.

Katanya, mereka perlu dikeculikan daripada pendakwaan dalam usaha menggalakkan mereka mendapatkan rawatan.

“Ia juga penting kita untuk mengetepikan perbezaan politik. Mari berhenti menuding jari dan bekerjasama sebagai Pasukan Malaysia demi kepentingan pemegang taruh terbesar kita, iaitu rakyat.”Sharkar berkata, terdapat keperluan mendesak untuk rakyat bersatu memerangi Covid-19.

“Jika kita tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa, saya bimbang kita perlu mengambil tindakan lebih drastik seperti yang kita lihat di Itali dan saya tidak fikir ada orang mahu berbuat demikian.”

Sharkar mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan, khasnya mereka yang berada di barisan depan perubatan.

“Saya berharap kerajaan dapat terus menyokong anggota perubatan dengan mengurangkan kerenah birokrasi dan tidak berkira dalam perbelanjaan untuk menyediakan sumber yang mereka perlukan.”

Tiada ulasan: