Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Tak salah tegur pemerintah, tetapi harus ikut jalan yang betul
1. SITI
Kasim (melalui NGO Maju) dilihat mempertahankan tindakan graduan UM
yang didakwa menghina Naib Canselor UM dengan membawa plakad ke dalam
Dewan Konvo untuk mendesak pemimpin universiti meletakkan jawatan sambil
melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’ dan ‘Ini Tanah
Malaysia’.
2.
Sebahagian Liberal terkadang dilihat keliru dengan pengertian hak
bersuara sehingga sanggup mempertahankan tindakan biadab yang boleh
memberikan mesej yang salah kepada penuntut ilmu.
3. Tidak
salah untuk menegur pemerintah, namun ia seharusnya disampaikan dengan
jalan yang betul. Dengan sebab itu sebahagian salafussoleh menyatakan
bahawa memiliki adab itu lebih utama dari menguasai ilmu yang luas. Apa
gunanya ilmu setinggi langit andai diri tidak dihiasi dengan adab mulia.
Atas dasar itu Abdullah ibn al-Mubarak menegaskan bahawa:
نحن إلى قليل من الأدَب أحوجُ منا إلى كثيرٍ من العلم
“Kita lebih memerlukan kepada adab (walau) sedikit berbanding dari memiliki ilmu yang menggunung.” (al-Khatib al-Baghdadi, al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi)
4. Bahkan
al-Imam Malik dikatakan sangat mengutamakan adab dalam pengajian beliau.
Perkara ini dinukilkan oleh anak murid beliau iaitu Abdullah ibn Wahb
yang menyebutkan:
ما نقَلْنا مِن أدب مالكٍ أكثرُ مما تعلمنا مِن عِلمه
“Apa yang kami pelajari daripada adab Imam Malik itu lebih banyak dari apa yang kami pelajari dari ilmunya.” (al-Asbahani, Hilya al-Aulia’)
5. al-Imam
Malik dikatakan turut pernah menegur al-Imam al-Shafie yang dilihat
seakan bermain-main dengan jarinya ketika majlis pengajian hadith
dijalankan. Perbuatan bermain-main dengan jarinya itu seakan dilihat
tidak beradab ketika pengajian hadith. al-Imam Malik lalu memanggil
al-Shafie untuk bertanya tentang kelakuannya itu. al-Shafie lalu
menjawab:
يا سيدي! ما كنتُ أعبث ولكني كنتُ أسجل بريقي ما تقول حتى لا أنسى؛ لأنني فقير، ولا أملك الدرهم الذي أشتري به القرطاس والقلم.
“Wahai
Tuanku, aku tidak bermain-main, tetapi aku menulis dengan air liurku
(di atas tapak tanganku) agar aku tidak lupa. Sesungguhnya aku adalah
orang yang miskin dan tidak mempunyai dirham untuk memberi kertas dan
pen.”
Rupa-rupanya
al-Imam al-Shafie menulis diatas telapak tangannya menggunakan air
liurnya. al-Imam Malik menyangkakan bahawa al-Shafie bermain-main dengan
tangannya. Lihatlah betapa seriusnya al-Imam Malik dalam menjaga adab
anak muridnya ketika pengajian ilmu sedang berjalan.
6. Bahkan
sebahagin hukama menyimpulkan bahawa adab yang tinggi adalah kesan dari
ibadah yang diterima. Seakan tiada gunanya buat mereka yang mempunyai
amal yang banyak tetapi tidak memiliki adab yang tinggi. al-Imam Ibn
al-Qayyim menukilkan:
الأدبُ في العمل علامةُ قَبول العمل
“Beradab di dalam amalan itu (salah satu daripada) tanda amalan itu diterima.” (Madarij al-Salikin)
7. Seorang
Muslim seharusnya mengerti bahawa dalam menegur orang yang lebih tua,
kita tidak seharusnya meninggalkan adab. Jangan jadi seperti golongan
liberal yang keliru dengan pengertian hak peribadi sehingga membenarkan
tindakan biadab terhadap seseorang. Janganlah seorang Muslim itu
dirosakkan dengan kekeliruan pemikiran liberal yang memisahkan keutamaan
hak adab islam dalam memperjuangkan hak manusiawi.
Semoga Allah membimbing kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan