Isnin, 24 Februari 2020

Adun DAP lepas, bebas tuduhan berkait LTTE





KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaren daripada 2 pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Hakim Muhammad Jamil Hussin dan Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengeluarkan perintah pembebasan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suffian Jaafar memaklumkan pihaknya mendapat arahan daripada pendakwa raya supaya tidak meneruskan prosiding terhadap Gunasekaren, 61.

Satu kes Gunasekaren didengar di hadapan Hakim Muhammad Jamil dan 1 lagi di hadapan Hakim Mohd Nazlan.

Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Gunasekaren memberitahu mahkamah berikutan pendakwaan tidak meneruskan kes terhadap anak guamnya, beliau memohon supaya tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Gunasekaren didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama “DAP Guna Palanisamy” di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman pada 2 petang 7 Okt 2019.

Dia juga dituduh memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam 1 majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka antara 8.30 malam dengan 10.50 malam pada 28 Nov 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: