Isnin, 24 Februari 2020

Pelantikan menteri dibatalkan - KSN

MALAYSIAKINI



Ketua Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah memperkenankan untuk membatalkan pelantikan menteri-menteri PH.

"(Ia) sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan pada 24 Februari 2020 selaras dengan peletakan jawatan perdana menteri."

"Sehubungan itu, tugas-tugas anggota pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) adalah terhenti pada tarikh yang sama," kata beliau pada suatu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohd Zuki mengesahkan Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim.

Ini selepas Dr Mahathir meluangkan kira-kira sejam setengah mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, pelantikan itu sementara menunggu seorang perdana menteri yang baru mengangkat sumpah jawatan selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, menurut sumber yang rapat dengan isu perlembagaaan berkata, Seri Paduka mungkin mengambil masa sehingga 10 hari untuk menentukan pihak mana yang mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru.

Hari ini, Dr Mahathir membuat pengumuman meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Beliau dikatakan berbuat demikian kerana tidak merestui tindakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang mengumumkan partinya yang mempunyai 26 MP keluar daripada PH dan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali yang mengaturkan 11 MP PKR untuk berpaling tadah.

Semalam, Muhyiddin, Azmin, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden GPS Abang Johari Openg dan Presiden Warisan Shafie Apdal telah bertemu dengan Yang Di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan campuran baru.

Bagaimanapun, Azmin mendedahkan baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam meminta lebih banyak masa untuk membuat keputusan.

Pagi tadi, pemimpin PH, selepas pertemuan dengan Mahathir mendakwa perdana menteri kecewa dengan gabungan baru itu kerana dirinya tidak mahu bekerjasama dengan Umno. Bagaimanapun, Mahathir belum menjelaskan perkara itu secara terbuka dengan mengadakan sidang media.

Peletakan jawatan Mahathir mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini beliau berkali-kali mangatakan bahawa beliau akan kekal sebagai perdana menteri sehingga selesai Malaysia menjadi tuan rumah kepada mesyuarat Apec November ini.


Tiada ulasan: