Jumaat, 28 Februari 2020

PKR Selangau gesa Baru Bian letak jawatan ahli Parlimen

Baru Bian bersama 8 ahli Parlimen PKR yang lain meninggalkan 
parti itu pada Isnin lalu.
 
KUCHING: PKR Bahagian Selangau menggesa Baru Bian yang meninggalkan parti itu bersama 8 wakil rakyat lain minggu ini, supaya turut meletak jawatan sebagai ahli Parlimen.

Ketua bahagian itu, Joshua Jabeng berkata Baru tidak berunding dengan jawatankuasa mengenai keputusannya mahu keluar parti.

“Rakyat mengundinya pada pilihan raya umum lalu dengan harapan beliau boleh membawa pembangunan di kawasan itu sebagai menteri penuh dalam gabungan Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah Selangau ketinggalan jauh dari segi pembangunan.

Lapan ahli Parlimen PKR yang meninggalkan parti itu ialah Willie Mongin (Puncak Borneo), Ali Biju (Saratok), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Mereka dilihat bersekutu dengan bekas timbalan presiden PKR, Mohamaed Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin, yang dipecat daripada parti itu Isnin lalu.

Ketua PH Sarawak, Chong Chieng Jen turut dilaporkan kecewa dengan tindakan Baru keluar parti dan mendakwa bekas ketua PKR negeri itu berniat membentuk kerajaan baru dengan Umno dan PAS.

Baru kemudiannya berjanji akan terus memperjuangkan hak Sarawak supaya ia tidak dinafikan pembangunan dan kemakmuran yang sepatutnya.

Tiada ulasan: