Khamis, 27 Februari 2020

Tipu rakyat, tipu Tun, beginikah pemimpin yang kita mahu pilih?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Ini bukan 'seni politik', tetapi 'seni menipu': Aminuddin


BANGI– “Saya tidak kisah kalau mereka ‘gila’ sangat pada jawatan tetapi janganlah menipu dan menunjukkan sifat ‘munafik politik’. Di depan kata setuju pada Tun tetapi senyap-senyap jumpa Agong dan menamakan orang lain sebagai perdana menteri. Ini bukan ‘seni politik’, tetapi ‘seni menipu’.”

Demikian kata Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya susulan pengumuman bahawa Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebulat suara bersetuju mencalonkan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri pilihan mereka, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan itu pada Isnin.

Haji Aminuddin menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai satu penipuan, bahkan turut melabelkan mereka yang pada awalnya menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir, namun kemudian berubah kepada Anwar sebagai ‘munafik politik’.

“Orang kata politik ini boleh berubah-ubah. Itu bahasa lembut atau bahasa ‘cover’ sahaja. Tetapi kalau dalam bahasa kasarnya orang akan panggil sebagai ‘munafik politik’.

“Baru semalam ‘puak-puak’ PKR mengumumkan mereka akan menyokong Tun Mahathir untuk jadi perdana menteri tetapi kenyataan mereka hari ini melalui Setiausaha Agung PKR bahawa Ahli-ahli Parlimen mereka menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri pula. Ini memang sukar untuk difahami oleh orang yang ada prinsip dan waras,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Anwar dalam sidang media berkata, berdasarkan keputusan Majlis Presiden PH semalam, mereka telah menetapkan bahawa calon Perdana Menteri PH adalah dirinya.

Bagaimanapun, ketika ditanya jumlah Ahli Parlimen yang menyokong PH setakat ini, Anwar berkata, perkara itu tidak sesuai dan tidak sopan untuk dibincangkan ketika ini.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) berkata, ini adalah satu penipuan yang nyata terhadap rakyat secara amnya dan kepada Tun Dr Mahathir secara khususnya. 

“Apakah pemimpin dengan akhlak sebegini wajar diangkat untuk memimpin negara? Apakah kuasa adalah segala-galanya dan bukannya kepentingan rakyat yang sepatutnya harus diutamakan?,” soalnya.

Justeru, beliau secara tekad meminta setiap Ahli Parlimen telus dalam menyatakan pendirian masing-masing dan tidak melakukan penipuan kepada rakyat.

“Pada saat-saat kritikal ini, saya minta sungguh-sungguh agar semua Ahli-ahli Parlimen bercakap benar dan ikhlas serta tegas dalam pendirian. Janganlah kelirukan rakyat yang tidak bersalah ini. Kestabilan negara harus diutamakan, bukannya kepentingan individu. Bercakap benarlah dan jangan jadikan penipuan sebagai budaya dalam berpolitik. 

“Rakyat kini menyerahkan sepenuhnya pada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan. Rakyat akan menjunjung titah serta mendoakan agar Allah memberikan taufik dan keberkatan kepada Tuanku dalam membuat keputusan. InsyaAllah. Semoga semuanya selesai dengan aman. Amin,” katanya.


Tiada ulasan: