Ahad, 23 Februari 2020

Maszlee mahu Peguam Negara letak jawatan

Maszlee


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik meminta Tan Sri Tommy Thomas untuk kembali mematuhi dasar kerajaan dan mengutamakan keselamatan negara atau melepaskan terus jawatan sebagai Peguam Negara.

Jelas beliau, kegagalan Tommy mengambil kira dasar kerajaan sebelum membuat keputusan bukan sahaja salah tetapi bertentangan dengan peranan beliau selaku penasihat undang-undang utama kerajaan Persekutuan.

"Saya mengambil maklum terdapat peranan yang berbeza apabila Tommy menjalankan tugas sebagai pendakwa raya dan apabila beliau berperanan sebagai Peguam Negara iaitu penasihat undang-undang.

"Namun dalam menjalankan tugas sebagai pendakwa raya, Tommy tidak boleh sama sekali membelakangi dasar kerajaan," katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Sementara itu, Maszlee yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kuasa untuk menyenaraikan sesuatu kumpulan sebagai kumpulan pengganas atau sebaliknya adalah di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri.

"Selagi mana ia tidak diubah oleh Menteri Dalam Negeri, maka ia kekal sebagai keputusan kerajaan yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara melalui agensi serta badan kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia.

"Keputusan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan ke atas 12 individu yang telah dituduh di mahkamah adalah disandarkan kepada keputusan kerajaan Australia dan Sri Lanka.

"Bagaimanapun, keselamatan negara adalah tanggungjawab Kerajaan melalui KDN," ujar beliau

Tiada ulasan: