Ahad, 23 Februari 2020

Ali Puteh minta Aliff Syukri 'bertaubat'

NADIA AZAM




Adik arwah Abam Bocey, Ali Puteh, menasihatkan usahawan kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman agar bertaubat kerana "pintu taubat masih terbuka."

Kenyataan Ali itu dibuat hanya beberapa hari selepas Aliff menjadi perhatian apabila menemu bual balu Abam, Nor Hidayah Mohd Ali, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi mengenainya.

Dakwa Ali, tindakan Aliff itu adalah cubaan untuk melariskan saluran YouTube miliknya namun dianggap "tidak beradab" kerana ia memecah-belahkan hubungan baik keluarga Abam dengan Nor Hidayah.

"Mana adab sebagai orang Islam? Dia muncul tiba-tiba sedangkan waktu kematian abang saya, langsung tak nampak batang hidungnya pun.

"Kepada Aliff, bertaubatlah kerana pintu taubat masih terbuka. Jangan pecahkan silaturrahim antara kami yang selama ni baik.

"Nampak sangat tujuan dia untuk melariskan saluran YouTube miliknya terutama apabila baca kapsyen pada video itu: Untuk ketahui maklumat lanjut sila tonton...." katanya.

Menurut Ali yang juga pelawak, Aliff sepatutnya tidak perlu mencampuri urusan peribadi mereka selain mengelak daripada mengajukan soalan yang boleh mengaibkan mana-mana pihak.

"Dah bagi sumbangan, baliklah. Bukan saya tak bersyukur dengan sumbangan diserahkan kepada balu arwah (Nor Hidayah), tapi soalan tu kenapa perlu mengaibkan dan mewujudkan unsur fitnah?" katanya.

Ambil dua-dua sisi
 
Ali ditemui pada sidang media khas di Bandar Damansara Utama, Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu, Ali mengeluarkan perkataan "binatang" di media sosial sebagai merujuk kakak iparnya itu selepas menonton rakaman video disiarkan Aliff di saluran YouTube milik jutawan kosmetik itu.

Susulan itu, pelbagai dakwaan timbul, antaranya Nor Hidayah dikatakan dihalau keluar rumah selepas kematian suami Abam, juga terpaksa menaiki Grab untuk membawa anaknya yang sakit ke klinik ekoran kenderaan mereka dirampas oleh adik-beradik arwah.

Bagaimanapun, kesemua dakwaan itu dinafikan oleh Ali pada sidang media hari ini.
Ali menitiskan air mata ketika menceritakan bagaimana dia 
dikecam netizen
Untuk rekod, Abam - atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey - meninggal dunia dalam tidur dipercayai akibat demam panas pada 10 Februari lalu. Selain Nor Hidayah, dia turut meninggalkan seorang anak lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, yang berusia sembilan bulan.

Mengulas lanjut, Ali berkata, Aliff sebaik-baiknya mendapatkan kenyataan daripada kedua-dua belah pihak supaya berlaku adil sekiranya timbul dakwaan berat seperti berlaku ketika ini.

"Untuk adil, kena ambil keterangan daripada dua pihak balu dan keluarga," katanya.

Justeru gesanya, wajarlah ada permohonan maaf daripada Aliff kepada pihaknya.

"Jika tak mahu mohon maaf pada saya datang minta maaf pada ibu. Tolong Jumpa dia kerana datuk berjaya pecah belahkan keluarga kami," katanya.

Dakwanya, disebabkan hal itu juga mereka sekeluarga menerima kecaman bertalu-talu daripada netizen hingga kini.

Harap dapat bersemuka
 
"Tak apa. Saya maafkan siapa saja netizen yang tak tahu hujung pangkal dan mengecam kami," katanya.

Ali juga percaya bahawa kakak iparnya itu menjadi mangsa secara tidak langsung apabila memberi kepercayaan sewenang-wenangnya kepada orang yang salah seperti Aliff.

"Kita dikejutkan dengan insan jutawan hebat tiba-tiba muncul sebagai hero Malaya dan digelar penyelamat oleh kakak ipar saya, wallahu a'lam.

"Kepada kakak ipar saya, ketahuilah Aliff hanya pergunakan kamu," katanya.
Ali juga mengambil kesempatan di sidang media sama untuk memohon maaf secara terbuka kepada Nor Hidayah gara-gara panggilan kesat dimuat naik di akaun media sosial miliknya.

"Saya mohon maaf atas kekhilafan saya pada kakak ipar sekeluarga. Ketika itu ia diluahkan kerana emosi selepas kehilangan anak dan abang dalam waktu yang berdekat. Saya juga sudah memadamkan kenyataan berkenaan.

"Saya ada nyatakan hasrat pada abangnya untuk bersemuka namun katanya masa tidak sesuai. Insya-Allah akan dilakukan tanpa kehadiran media suatu hari nanti.

"Untuk duit sedekah orang ramai yang datang ziarah arwah akan saya serahkan semuanya kepada Nor Hidayah sebab ia bukan hak saya. Saya cuma membantu menguruskan," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan kenyataan daripada Aliff berhubung dakwaan Ali.

Tiada ulasan: