Selasa, 25 Februari 2020

Kini Ramasamy puji Tun M tinggi melangit

Kasthuri Jeevendran
MGF30072018_Pertemuan-Enam-Mata_09-1
Dr. P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy sebelum ini lantang mengkritik Tun Dr. Mahathir Mohamad terutama isu supaya tarikh berlakunya peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dimuktamadkan.

Bagaimanapun, hari ini Ramasamy yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai memuji pula Mahathir.

Beliau menganggap Mahathir seorang yang tinggi prinsipnya walaupun ketika berhadapan dengan kejatuhan kerajaannya sendiri.

“Apa sahaja yang hendak dikatakan, beliau, Mahathir seorang ahli politik senior serta veteran yang tetap berpegang tinggi pada prinsipnya walaupun tatkala kejatuhan kerajaan pada masa ini.

“Sebenarnya Tun Mahathir kembali ke dalam era politik sekali lagi kerana mahu menumbangkan UMNO yang ternyata terpalit dengan isu rasuah sehingga hampir bankrapnya negara ini.

“Hakikatnya Tun Mahathir sangat jelas dengan objektif beliau tidak akan sesekali bersama-sama UMNO namun ini adalah sesuatu yang telah disalah tafsir oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kumpulannya yang lebih berhasrat untuk membunuh karier politik Anwar.

“Walaupun pembentukan gabungan politik yang baru kononnya untuk mengekalkan Mahathir sebagai Perdana Menteri, hakikatnya bukanlah kumpulan ini mempunyai rasa sayang terhadap Tun Mahathir,” tulisnya dalam Facebook beliau hari ini.
TERKINI : Saya Tak Pikir Tun Adalah ‘DALANG’ – P. Ramasamy
Semalam Ramasamy memberitahu media, tidak mungkin Mahathir ‘dalang’ di sebalik segala masalah dan usaha pembentukan kerajaan baharu tanpa DAP, Amanah dan PKR.

Beliau turut menyatakan rasa terkilan dengan tindakan Mahathir yang meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan merasakan ia tidak sepatutnya berlaku.

“Saya tak rasa Mahathir adalah mastermind benda ini, kenapa dia nak letak jawatan (PM),” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Anwar.

Tulis Ramasamy lagi, Mohamed Azmin sebenarnya bercita-cita tinggi sehingga mempunyai hasrat untuk menjadi perdana menteri dan beliau cuba membawa masuk Pas dan UMNO yang mahu bersama-sama berkuasa.

“Sesiapa yang hadir majlis pada Ahad lepas sebenarnya termakan janji yang sungguh manis seperti madu serta mempunyai harapan tinggi memegang tampuk kuasa.

“Bagaimanapun, hakikatnya Mohamed Azmin mungkin boleh mendapatkan ‘angka’ dengan menggabungkan kumpulan ini, sebenarnya selepas ini beliau tidak boleh sesuka hati mempergunakan nama Mahathir seperti sebelum ini.

“Sememangnya bagi Mohamed Azmin, kelangsungan politik satu perkara penting tetapi tidaklah sehingga tidak menghormati sesiapa dan memusnahkan mandate rakyat yang mengundi untuk kerajaan ini.

“Saya sememangnya tidak pasti adakah rakyat Malaysia akan menunggu dengan penuh harapan satu perubahan yang disebut itu namun bagi memaafkan mahupun melupakan pengkhianatan oleh Mohamed Azmin serta konco-konconya itu mungkin tidak,” ujarnya. –MalaysiaGazette
Tun M tak mahu kerjasama dengan UMNO – Guan Eng
DAP calonkan kembali Tun M jadi PM

Tiada ulasan: