Sabtu, 29 Februari 2020

LANGSUNG: Muhyiddin dan kumpulannya tiba di Istana Negara

MALAYSIAKINI




LANGSUNG | Malaysiakini melaporkan perkembangan terkini keadaan politik semasa berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 20 bulan.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini dengan harga serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.

LANGSUNG

10.45 pagi: Sekumpulan pemimpin masyarakat sivil mencadangkan pemimpin dari Malaysia Timur diberi peluang untuk mengetuai kerajaan baru.

Mereka berkata ini kerana pemimpin politik dari Semenanjung berterusan bertelagah demi kepentingan mereka sendiri.

"Sudah sampai masanya kita rakyat Malaysia memberi peluang kepada pemimpin di Malaysia Timur yang telah menunjukkan toleransi agama dan kaum sejak pembentukan Malaysia, dan yang telah menunjukkan contoh perpaduan dalam kepelbagaian untuk memimpin negara keluar dari kebuntuan semasa.

"Jika Malaysia mahu kerajaan perpaduan, mari kita mulakan dari Malaysia Timur. Apabila kita menandatangani perjanjian Malaysia, kami berharap untuk masyarakat yang adil dan saksama dan pemimpin yang prihatin yang meletakkan negara berbanding diri sendiri.

"Ia kini mengesahkan bahawa pemimpin parti semenanjung hanya berfikir tentang diri mereka.

"Sudah sampai masanya pemimpin Malaysia Timur diberi peluang untuk menerajui negara sebagai perdana menteri," kata mereka.

Antara yang menandatangani kenyataan itu termasuk Lim Teck Ghee, Tajuddin Rasdi, Peter John Jaban dan Faridah Mohd Fuad Stephens.



DAP sedia berbincang dengan GPS

10.15 pagi: DAP Sarawak bersedia berbincang dengan GPS berhubung pilihan raya negeri yang akan datang, atas nama kepentingan negara.

"Atas nama kepentingan negara, apa pun boleh," kata ketua DAP Sarawak Chong Chien Jen kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada mereka bersedia bekerjasama dengan GPS, beliau menjawab mereka terbuka untuk bekerja dengan pihak lain selain daripada Umno dan PAS.

Chong berkata negara ini berada di persimpangan jalan sekarang dan GPS harus memilih antara bekerja dengan "perkauman" dan "pelampau agama" dalam Umno dan PAS, atau dengan Pakatan Harapan.



Muhyiddin dan kumpulannya mula tiba di Istana Negara

10:10: Istana Negara - Pemimpin politik mula tiba di Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan  Agong.

Antara mereka ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dan pemimpin GPS, Fadilah Yusoff.



Dr M umum ada majoriti lepas disokong PH

9.30 pagi: Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau kini mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Ini selepas beliau bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi ini.

"Saya yakin bahawa saya mempunyai bilangan yang diperlukan untuk mendapatkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

"Oleh itu, saya bersedia untuk menjadi calon perdana menteri," katanya.

Pakatan Harapan, dalam kenyataan yang berasingan, mengesahkan bahawa gabungan itu akan menyokong Mahathir.



Syed Saddiq nafi sokong Muhyiddin jadi PM

9.12 pagi: Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan pernah menandatangani apa-apa sokongan terhadap presiden parti, Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri.

“Saya tak pernah tandatangan,” katanya apabila ditanya tentang sokongan Bersatu terhadap Muhyiddin sebagai calon perdana menteri kelapan.

Ini ekoran kenyataan Setiausaha Agung Bersatu semalam, Marzuki Yahya yang menyatakan Mesyuarat Ahli-ahli Dewan Rakyat Bersatu (termasuk sekumpulan blok Azmin dari PKR) memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin.

Katanya, “mesyuarat itu dihadiri oleh seramai 36 ahli Dewan Rakyat Bersatu”.



MP luah perasaan melalui puisi

8.30 pagi: Bekas timbalan menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menghantar puisinya kepada Malaysiakini untuk mengingatkan tentang perpaduan dan kepelbagaian kaum di negara ini. Demikian puisi itu berbunyi:

Watan ini ada warisan,
Dari azali tersohor namanya,
Angin yang merentas lautan,
Membawa siasah dan budaya.
Dari kerajaan purba Tanah Merah,
Sang pelayar Buddhagupta
Menjelajah dunia Nusantara,
Dibawa angin yang sama.
Dari Gunung Valavati sana,
Dinaung Raja Dewa Cudamani,
Dharmakirti mengarang kitabnya,
Mencerah minda menyuluh rohani.
Dari Rom, angin membahtera,
Merong Mahawangsa dilanggar Garuda,
Lalu mendiri tahkta Langkasuka,
Kerajaan adil kebaikan bertambah-tambah.
Angin yang sama membawa,
Dari benua jauh Sang Pencerah,
Agama Dewata Mulia Raya,
Memahat syariah mentadbir ummah.
Dari Seguntang Mahameru,
Termaktub bai'ah pusaka,
Menjunjung daulat ke anak cucu,
Zuriat Yamtuan Tiga Dunia.
Watan ini hebat
Bukan sebab kudrat semata,
Hebat kita kerana muafakat
Kerana angin takdir mengikat kita.
Bagai ditempa kursani dan baja
Dibakar bahang api bara
Disepuh air tiga kuala
Menjadi keris Laksamana.
Ku sambut tangan-mu sahabatku,
Oleh takdir dikimpal kita,
Oleh angin ketemu kita,
Sejak bahari kita bersama,
Dalam Bahasa, Budaya, Cara dan Warna
Sebenarnya, kita berjumpa. 

Menurut Steven, puisi itu ditulis untuk mengingatkan rakyat Rakyat Malaysia asal usul, sejarah yang panjang dan silaturahim yang bagaikan "besi pelbagai ditempa menjadi keris sakti".

"Kita kuat bukan sebab kebolehan sesorang atau sesuatu kaum tapi kerana perpaduan pemimpin dan rakyat pelbagai kaum negara ini," katanya.



Agong panggil pemimpin parti politik

8 pagi: Istana Negara - Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka memanggil semua pemimpin parti politik ke Istana Negara pada jam 10.30 pagi.

Agong pada Selasa dan Rabu lalu mewawancarai semua anggota parlimen bagi mengetahui calon perdana menteri pilihan mereka, namun mendapati tiada mana-mana pihak memiliki majoriti yang jelas.
Anggota Parlimen BN dan PAS memaklumkan kepada Yang Di-Pertuan Agong bahawa mereka mahukan Dewan Rakyat dibubarkan manakala pemimpin Pakatan Harapan memutuskan untuk mencalonkan Anggota Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas bekas pemimpin mereka, Dr Mahathir Mohamad enggan memulihkan kerajaan PH.

GPS, Warisan dan Bersatu dipercayai menamakan Mahathir, yang merupakan pengerusi Bersatu, sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, pendirian parti-parti politik ini berubah lagi dalam masa beberapa hari.

Sehingga malam tadi, BN, PAS dan Bersatu kini menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. Pendirian PH tetap tidak berubah buat masa sekarang dan siapa yang akan disokong GPS dan Warisan masih samar.

Peralihan sokongan kepada Muhyiddin adalah kerana Mahathir berkeras untuk tidak akan bekerjasama dengan Umno.

Ini bermakna Muhyiddin mendapat sokongan daripada 96 anggota Parlimen sementara Presiden PKR Anwar Ibrahim memperoleh 93 sokongan.

Tidak jelas sama ada Agong boleh menentukan siapa yang paling mendapat sokongan dengan menemui ketua-ketua parti hari ini kerana tidak semua anggota parlimen menyokong keputusan parti masing-masing.

Sebagai contoh, sokongan anggota parlimen Bersatu kelihatan terpecah dua antara Muhyiddin dan Mahathir.

Anwar menyatakan bahawa beliau berharap anggota parlimen menyebelahi PH, dengan mendakwa gabungan itu mempunyai bilangan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ini merupakan usaha berterusan untuk membuktikan sokongan majoriti bagi menentukan perdana menteri selepas beberapa siri temuduga dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap anggota parlimen.

Tiada ulasan: