Selasa, 25 Februari 2020

Tempoh kritikal untuk perdana menteri interim tadbir negara - Penganalisis

Bernama
Tempoh kritikal untuk perdana menteri interim tadbir negara - Penganalisis
Anuar Shah menegaskan, keadaan ini tidak seharusnya mengambil masa yang panjang kerana ia boleh membawa negara kepada situasi yang tidak menentu.
 

KUALA LUMPUR: Seluruh perhatian kini tertumpu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau melaksanakan tugasnya sebagai perdana menteri interim dalam mengharungi saat-saat kritikal, mengemudi pentadbiran negara tanpa bantuan Jemaah Menteri.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata tempoh itu boleh berlanjutan sehingga tiga, atau empat hari lagi, selagi tiada ketetapan berhubung gabungan parti mana yang mempunyai majoriti dan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

"Pada ketika ini, kesemua parti politik berdepan tugas getir dalam mendapatkan sokongan parti lain dan bergabung membentuk pakatan baharu. Perkara ini memerlukan masa. Namun sementara menunggu ia diputuskan, Dr Mahathir selaku perdana menteri interim masih perlu menjalankan tugasnya.

"Jadi, adalah penting untuk parti politik segera mendapatkan sokongan atau bergabung dengan parti lain dan seterusnya membawa usul kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan. Di sinilah nanti perdana menteri yang baharu akan dipilih," katanya kepada Bernama.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilaporkan berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh dan surat kepada Yang di-Pertuan Agong dihantar pada pukul 1.00 tengah hari semalam.

Dr Mahathir turut meletak jawatan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti itu juga telah keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Negarawan berusia 94 tahun itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei, 2018, selepas menerajui PH untuk menjatuhkan apa yang beliau gelar sebagai kerajaan kleptokratik.

Mengikut perlembagaan, sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen diperlukan bagi memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Jelas Anuar Shah, jumlah angka atau sokongan kepada sesuatu sokongan ini akan berubah-ubah selagi tiada ketetapan yang dibuat oleh seorang 'teraju' yang mewakili sesuatu gabungan baharu dalam membentuk kerajaan.

Tegasnya, keadaan ini seharusnya tidak akan mengambil masa yang panjang kerana ia boleh membawa negara kepada situasi yang tidak menentu.

Sementara itu, seorang peguam, Datuk Salehuddin Saidin berkata tiada peruntukan khas di dalam Perlembagaan yang menentukan tempoh masa untuk seseorang itu menjadi perdana menteri interim.

Justeru, ia terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya.

"Hanya perdana menteri interim sahaja yang boleh mentadbir negara. Namun seharusnya ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana boleh menjejaskan ekonomi negara. Jadi, ini tanggungjawab semua parti politik untuk menyelesaikan atau mengubahnya," tambahnya. -- BERNAMA

Tiada ulasan: