Selasa, 25 Februari 2020

Hari ke-82: Perbicaraan tak diteruskan, saksi tak sedia, Najib perlu ke PWTC

HIDIR REDUAN ANDUL RASHID




LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-78 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.



Peguam tetap berhasrat panggil pegawai penyiasat SPRM

9.49 pagi: Pasukan peguam masih berhasrat memanggil pegawai penyiasat SPRM untuk memberi keterangan bagi pihak pembelaan.

Peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara ini kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali pagi ini.

Semalam, Nazlan menolak permintaan pasukan pembelaan yang mahukan Penolong Pesuruhjaya SPRM Mohd Nasharudin Amir untuk ditemubual oleh mereka sebelum saksi memberi keterangan.
Iklan
 
Terdahulu, dilaporkan bahawa Nasharudin bersedia untuk memberi keterangan walaupun dia tidak mahu ditemubual terlebih dahulu oleh pasukan pembelaan.

Shafee juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa di antara senarai saksi yang mereka ingin panggil ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, bekas peguam negara, Apandi Ali, bekas ketua suruhanjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Salleh.
Nazlan kemudian menangguhkan perbicaraan pada jam 2.30 petang esok.



Perbicaraan tidak dapat diteruskan kerana saksi belum bersedia dan Najib perlu hadir ke PWTC

9.24 pagi: Perbicaraan terhadap Najib Razak yang didakwa menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International tidak dapat diteruskan hari ini kerana tertuduh perlu menghadiri mesyuarat politik di PWTC pada pukul 10.30 pagi hari ini.

Perbicaraan itu juga tidak dapat diteruskan kerana saksi pembelaan, Rasman Abdullah belum bersedia untuk dipanggil memberi keterangan dalam mempertahankan Najib.
Peguam utama Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa tertuduh perlu menghadiri mesyuarat penting.

"Najib dikehendaki meninggalkan mahkamah untuk ke PWTC pada pukul 10.30 pagi," kata Shafee.

Shafee juga memberitahu bahawa Najib perlu pergi ke Istana Negara selepas mesyuarat di PWTC.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan masa.

Terdahulu, seorang lagi peguam bela, Farhan Read memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak dapat meneruskan dengan keterangan Rasman hari ini apabila semalam peguam diberikan akses kepada kenyataan saksi SPRM yang tidak dapat dikesan, seperti CEO SRC, Nik Faisal Ariff Kamil dan ahli perniagaan Low Taek Jho.

Farhan berkata mereka perlu menyemak kenyataan SPRM dengan Rasman sebelum mereka boleh memuktamadkan kenyataan saksi Rasman.



9.18 pagi: Prosiding bermula dan tertuduh Najib Razak memasuki kandang tertuduh.



9.09 pagi: Bekas Perdana Menteri Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam.

Juga kelihatan di mahkamah menunggu prosiding bermula ialah DPP V Sithambaram dan DPP lain, serta peguam utama Muhammad Shafee Abdullah dan anggota pasukan pembelaan.



Pengerusi eksekutif Putra Perdana Bhd, Rasman Abdullah dijadual memberi keterangan bagi pihak pembelaan pada hari ke-82 perbicaraan terhadap Najib Razak yang didakwa menyalahgunakan dana RM42 juta SRC International.

Semalam, peguam bela Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa mereka akan memanggil Rasman pada prosiding hari ini.

Putra Perdana Berhad dikaitkan dengan Putra Perdana Construction, sebuah syarikat yang didakwa terlibat dalam RM42 juta pemindahan ke akaun Najib antara Disember 2014 dan Feb 2015.

Dalam prosiding semalam, mahkamah antara lain mendengar bahawa pembelaan memilih untuk tidak memanggil pakar tulisan tangan dari Australia, Dr Steven Strach untuk memberikan keterangan berhubung hasil daripada analisis tandatangan bekas Perdana Menteri Najib ke atas beberapa dokumen SRC.

Ini walaupun Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 22 Jan membenarkan permohonan pihak pembelaan agar pakar itu diterbangkan dari Australia untuk memeriksa keaslian tandatangan tertuduh pada bukti berdokumen berkenaan.

Semalam, mahkamah juga menolak permohonan pihak pembelaan untuk memaksa Pembantu Pesuruhjaya SPRM, Mohd Nasharudin Amir ditemuramah oleh mereka sebelum dia (Nasharudin) memasuki kandang saksi di peringkat pembelaan.

Berikutan pengguguran permohonan, tidak dapat dipastikan jika pasukan pembelaan masih memerlukan Nasharudin hadir ke mahkamah dan memberi keterangan bagi pihak pembelaan.

Prosiding di hadapan Nazlan dijadual bermula jam 9.00 pagi ini.


Tiada ulasan: