Ahad, 23 Februari 2020

Adakah AG akan bebaskan penyokong Daesh juga?

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Ditahan guna kesalahan seperti LTTE, sokong pengganas berbeza


BANGI – Meskipun Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mempunyai kuasa seperti termaktub dalam Perlembagaan, beliau seharusnya memikirkan impak menghentikan prosiding terhadap 12 individu yang berdepan pertuduhan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pakar Perundangan, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, isu berkenaan sensitif dan melibatkan ramai pihak, bahkan bakal memberi kesan kepada tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang lain.

“Misalnya tahanan penyokong kumpulan pengganas Daesh. Jika kita lihat, mereka yang ditahan mempunyai kesalahan hampir sama seperti 12 individu terbabit dengan memiliki gambar menyatakan sokongan.

“Kita tidak mempertikaikan hak yang termaktub dalam Perlembagaan yang digunakan peguam negara, kita pertikaikan adalah apakah kesan dan impak daripada pembebasan 12 individu ini kepada individu lain yang ditahan dengan menggunakan kesalahan yang sama tetapi kumpulan pengganas yang berbeza,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, LTTE.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Bahkan katanya, keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Ahmad Martadha turut mempersoalkan sama ada Tommy akan membebaskan mereka yang berada dalam tahanan SOSMA atas dakwaan menyokong Daesh.

“Apakah nanti ia akan mencetuskan pula permasalahan di kalangan anggota keselamatan yang akan terus menjalankan tugas mereka menangkap mana-mana individu yang memberikan sokongan terhadap kumpulan yang dilabelkan sebagai pengganas?,” soal beliau.


Tiada ulasan: