Khamis, 27 Februari 2020

Hasni ketuai gabungan baharu di Johor

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Ir Hasni Mohamad dikatakan akan mengetuai gabungan baharu yang  akan menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan di Johor.

Dengan itu Hasni juga dikatakan akan dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Dr. Saharuddin  Jamal.

Sultan Johor juga berpuas hati dengan gabungan tersebut yang berjaya membentuk majoriri mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah dalam satu kenyataan berkata, 28 ADUN memilih gabungan baru manakala 26 lagi memilih PH.

Berikut adalah kenyataan penuh Jaba:

“Ekoran daripda pengumuman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 24 Februari 2020, yang parti tersebut telah keluar daripada Pakatan Harapan, maka kedudukan kerajaan Pakatan Harapan di negeri Johor turut terjejas dan hilang majoriti menjadikan kerajaan yang tergantung..

Menteri Besar Johor , Datuk Dr Saharuddin Jamal bersama Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad telah menghadap Duli Yang Mulia Sultan Johor pada 26 Februari 2020 memaklumkan bahawa satu gabungan baharu telah diwujudkan bersama beberapa  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor dan berjaya memperoleh bilangan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Bagi mengesahkan sokongan majoriti tersebut, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah bertitah supaya diadakan satu sesi temu bual bersama setiap ADUN bagi mendengar sendiri sokongan yang diberikan.

Sehubungan itu, satu sesi temu bual bersama ADUN Johor telah diadakan telah diadakan pada 26 Februari 2020 jam 3 petang hingga 5 petang di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru.

Temu bual tersebut di buat di hadapan DYMM Tuanku dan disaksikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Penasihat Undang-undang Negeri Johor.

Setiap ADUN juga dikehendaki menandatangani surat akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong Pakatan Harapan atau gabungan baharu.

Daripada 56 ADUN yang dipanggsil, dua tidak dapat menghadirkan diri iaitu ADUN Simpang Jeram dan ADUN Puteri Wangsa. Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan ADUN Gambir turut hadir dalam sesi temu bual tersebut.

Setelah selesai sesi temu bual tersebut, DYMM Tuanku telah berpuas hati bahawa gabungan parti yang baharu telah memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, apabila 28 ADUN memilih gabungan baharu berbanding 26 ADUN memilih Pakatan Harapan.

Oleh yang demikian gabungan parti yang baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon Menteri Besar, sebelum susunan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dilantik.

DYMM Tuanku berharap agar pentadbiran Kerajaan Negeri Johor segera dibentuk  bagi memastikan pembangunan negeri berjalan dengan lancar demi kemajuan dan kesejahteraan hidup semua rakyat negeri Johor. – SM

Tiada ulasan: