ULASAN | Sebagai ahli
parlimen Pasir Gudang yang mewakili PKR dalam gabungan PH, pagi Rabu 26
Feb lalu adalah hari yang cukup bersejarah dalam hidup saya.
Untuk ke istana, saya bersiap sebaik mungkin dengan pakaian serba hitam bersama kot, tali leher berwarna merah, bersongkok dan berkasut hitam murah yang dibeli di pasar raya Mydin di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur petang sebelumnya.
Maklumlah, untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong. Kasut sedia ada - yang dipakai dari rumah di Johor - sudah hampir koyak.
Itulah langkah saya untuk memilih perdana menteri kelapan Malaysia.
Saya memandang lurus tegak. Di hadapan saya - dalam jarak 10 meter - berdiri baginda Agong. Apa yang saya patut buat? Saya mengangkat kedua belah tangan ke dahi tanda hormat kepada raja.
Itu juga kali pertama dalam hidup saya menjunjung duli kepada raja. Dalam hidup saya sejak muda, secara jujur, saya tidak begitu selesa dengan institusi feudalisme.
Bukan bahasa istana
Satu dilema yang saya lalui pagi itu.
Saya melangkah tegak lurus ke arah meja yang telah disediakan bersama sebuah kerusi kayu. Agong berdiri tegak berdepan meja itu. Saya belum sempat mengangkat ke dua belah tangan untuk menjunjung duli, baginda Tuanku yang lebih muda daripada saya menghulurkan tangannya untuk bersalaman.
Hati saya rasa tersentuh dengan sikap baginda yang ramah mesra itu. Sikap saya yang agak antiroyalis semasa muda-muda dulu mula cair dengan budi bahasa Tuanku Al-Sultan Abdullah.
Saya memberi salam kepada baginda Tuanku. "Assalamualaikum Tuanku," ujar saya dengan nada hormat sambil menyambut salaman.
"YB dari kawasan mana?" tanya baginda.
"Saya mewakili parlimen Pasir Gudang, Tuanku."
Ketika itu saya cepat sedar bahawa saya tidak menggunakan bahasa istana yang betul. Biasaya perkataan "saya" tidak digunakan, sebaliknya perkataan "patik".
Tetapi secara jujur sekali lagi, jauh di hati saya, saya tidak selesa menyebut perkataan "patik".
Pada bahagian atas borang itu - yang formatnya hampir sama seperti surat akuan berkanun (statutory declaration atau SD) saya menulis nama Anwar Ibrahim dengan jelas dan terang sebagai perdana menteri kelapan Malaysia, disaksikan Tuanku Agong.
Sebagai seorang ahli parlimen dan juga seorang peguam bela serta peguam cara, apa yang saya lakukan di Istana Negara di hadapan raja pagi itu menyedarkan saya akan realiti Malaysia ini sebuah negara demokrasi yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Dalam
suasana negara mengalami krisis perlembagaan berkaitan perlantikan
perdana menteri maka peranan kuasa Agong seperti yang diperuntukkan oleh
Perlembagaan Persekutuan boleh memberikan jalan keluar.
Tetapi Tuanku lebih cepat menghulurkan tangannya untuk berjabat salam dengan saya.
Saya melangkah meninggalkan balai Istana Negara selepas itu dengan kenangan manis ditemu duga oleh Tuanku Yang di-Pertuan Agong dalam usaha cermat dan hati-hati baginda memilih siapakah yang layak menjadi perdana menteri kelapan menurut kuasa dan budi bicara baginda berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai ahli parlimen, sebagai rakyat dan warganegara serta sebagai pengamal undang-undang, saya berpuas hati dengan tindakan dan cara penyelesaian yang dilakukan oleh baginda.
HASSAN KARIM ialah ahli parlimen PKR mewakili kawasan parlimen Pasir Gudang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan