Selasa, 25 Februari 2020

PAS harap Tun M tidak ambil masa lama

KOTA BHARU: PAS berharap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim tidak mengambil masa lama untuk menyelesaikan kemelut politik negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sekiranya situasi itu berlarutan, ia boleh menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Katanya, bayangkan semalam sahaja negara sudah kehilangan puluhan bilion ringgit disebabkan masalah yang berlaku.

“Justeru kita berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.. kita menjangkakan masalah ini selesai pada hari ini atau esok,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah PAS kini ke arah menjadi parti kerajaan, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku.

“Kita tidak tahu lagi (menjadi parti dalam kerajaan), namun ada potensi ke arah itu dengan suasana yang berlaku.

“Malah, semua ahli Parlimen PAS juga kini berada di Kuala Lumpur untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kita lihat apa yang berlaku,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Amar berkata, PAS juga berpendirian sama dengan UMNO iaitu tidak akan menyertai mana-mana kerajaan yang turut disertai DAP.

Tiada ulasan: