Dewan Rakyat tidak akan mengadakan persidangan khas Isnin depan, seperti diumumkan Perdana Menteri Sementara Dr Mahathir Mohamad semalam.
Speaker Mohamad Ariff Md Yusof berkata surat pemakluman memanggil mesyuarat khas Dewan Rakyat yang ditandatangani perdana menteri interim tidak mengikut peraturan.
Katanya, ia tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.
“Setakat ini tiada notis dikeluarkan,” katanya.
Semalam, Mahathir mengumumkan parlimen akan bersidang pada 2 Mac selepas Yang di-Pertuan Agong mendapati tiada seorang pun pemimpin yang mempunyai majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan.
Mahathir sebelum itu mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Parlimen pada asalnya dijadualkan bersidang semula pada 9 Mac.
Dalam kenyataan hari ini, Ariff berkata keperluan mengadakan mesyuarat khas akan dibuat selepas titah Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan proses pemilihan perdana menteri.
“Oleh yang demikian, saya memutuskan tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin, 2 Mac 2020.
“Saya akan terus meneliti perkembangan semasa dan kenyataan seterusnya tentang notis dan tarikh mesyuarat khas akan dimaklumkan kelak,” katanya.
Mahathir mengumumkan akan membentuk pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.
Pakatan Harapan mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Anwar kini dikatakan mempunyai pencalonan terbanyak dengan kira-kira 90 anggota parlimen.
Bagaimanapun, dengan sokongan itu, heliau hanya berpeluang membentuk kerajaan minoriti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan