Sabtu, 29 Februari 2020

Saksi SPRM sahkan derma RM2.6 bilion keluarga Raja Arab kepada Najib

Kasthuri Jeevendran
MGF06012020_MAHKAMAH-NAJIB07
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak


KUALA LUMPUR – Saksi pembelaan kesembilan kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu mahkamah sememangnya ada derma dari Raja Arab bernilai RM2.6 bilion.

Saksinya yang juga Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asisten Komisioner Mohd Nasharuddin mengakui sememangnya ada wakil perundangan kepada Putera Arab dikenali sebagai Abdullah al-Koman membuat pengesahan ke atas empat surat tentang derma RM2.6 bilion kepada bekas perdana menteri berkenaan.

Kata Mohd Nasharudin yang terlibat dalam penyiasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) beliau ada bertemu dengan Putera Saudi, Saud Abdul Aziz di Riyadh pada November 2011.

Saud Abdul Aziz merupakan individu yang didakwa menandatangani empat surat yang dikaitkan dengan derma berjumlah RM2.6 bilion daripada keluarga diraja Saudi kepada Najib.

Pegawai SPRM itu berkata, pihak SPRM telah pergi ke Riyadh, Arab Saudi pada 27 November 2015 bagi memastikan ketulenan empat surat yang dikaitkan dengan derma yang didakwa diberikan oleh keluarga diraja Saudi kepada bekas perdana menteri itu.

“Saya telah diarahkan oleh bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP), Fikri Ab Rahim untuk bersama-sama dengan beliau ke Arab Saudi untuk tujuan Itu pada 27 November 2015.

“Ketika itu bersama bersama kami adalah bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan pegawai kanan SPRM, Mohd Hafaz Nazar,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Muhammad Shafee: Boleh beritahu mahkamah ini, siapakah Saud Abdul Aziz ini?

Nasharudin: Jika mengikut nama tertera itu, beliau orang besar dari keturunan diraja.
Muhammad Shafee: Bagaimana pula kamu tahu keturunan beliau itu?


Nasharudin: Saya tidak pasti siapa itu sebenarnya.

Muhammad Shafee: Tetapi kamu ada waktu itu dan kamu bertemu dengan beliau?

Nasharudin: Ada. Pada 29 November di sebuah rumah besar seperti istana di Riyadh. Rumah besar macam istana di situ.

Dalam pada itu, Mohd Nasharuddin Mohamad memberitahu mahkamah sebenarnya Putera Saud diwakili Abdullah kerana beliau tidak boleh berbahasa Inggeris.

Dalam pada itu, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram, Nasharudin bersetuju tidak wajar sekiranya individu selain Putera Saud mengesahkan bahawa derma ada dibuat kepada bekas perdana menteri itu.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, pihak pembelaan akan cuba untuk memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya untuk memberikan keterangan Isnin depan.

“Bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali telah bersedia untuk memberi keterangan tetapi buat masa ini beliau mempunyai hal peribadi untuk diselesaikan terlebih dahulu,” ujarnya.

Prosiding kemudian ditangguh dan akan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali minggu hadapan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan dana SRC International yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dengan dana SRC. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: