Ahad, 23 Februari 2020

LTTE: Wanita UMNO Desak Tommy Dipecat

UMNO ONLINE




KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Malaysia mendesak agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil tindakan segera kepada Peguam Negara Tommy Thomas agar undang-undang negara ini tidak terus dilacurkan.

Tegas Ketuanya Datuk Dr Noraini Ahmad, Tommy tidak layak untuk terus menjawat jawatan sebagai Peguam Negara kerana ini bukan kali pertama tindakannya mendapat kecaman rakyat.

Wanita UMNO juga katanya berasa amat kesal dengan tindakan Tommy yang seakan memandang remeh isu keselamatan negara.

“Tindakan Peguam Negara memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah satu tindakan yang benar-benar mencabar kredibiliti Polis Diraja Malaysia.

“Harus ditegaskan, isu keselamatan negara bukan satu perkara yang boleh dipolitikkan.

“Sangat hairan, bagaimana Peguam Negara boleh memohon kepada Kementerian Dalam Negeri untuk tidak menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas sedangkan bukan hanya Malaysia yang menyenaraikan sedemikian,” bidas Ahli Parlimen Parit Sulong itu dalam satu kenyataan.

Seterusnya, Dr Noraini turut menimbulkan persoalan terhadap tindakan Tommy itu yang dilihat membelakangkan keselamatan rakyat dan negara ini.

“Tidakkah Tommy sedar bahawa tindakannya ini boleh mendatangkan bahaya kepada negara dan rakyat Malaysia?

“Adakah keselamatan negara ini tidak menjadi keutamaan beliau dalam membuat pertimbangan? Soalnya.

Bidas Dr Noraini lagi, tindakan Tommy juga secara tidak langsung memberi isyarat yang salah bukan hanya kepada rakyat tetapi kepada dunia kerana mereka akan menganggap Malaysia mengiktiraf kumpulan pengganas. – UMNO ONLINE

Tiada ulasan: