Jumaat, 28 Februari 2020

Bersatu Johor sokong Dr M sebagai perdana menteri

ZIKRI KAMARULZAMAN




Lebih separuh ketua bahagian Bersatu Johor menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan pengerusi parti.

Ia sehari selepas adun Bersatu Johor bersama-sama BN dan PAS mengambil alih kerajaan negeri, didakwa atas keizinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Mahathir yang kini perdana menteri sementara, yang tegas enggan bekerjasama dengan Umno secara keseluruhan, semalam mendakwa Muhyiddin mempunyai sikap yang lebih terbuka untuk bekerjasama dengan bekas parti pemerintah itu.

Menurut Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang, 19 daripada 26 ketua bahagian bertemu semalam dan memutuskan untuk menyokong Mahathir.

"Kami menyokong penuh kepimpinan Mahathir sebagai pengerusi dan mencadangkan agar beliau menjadi calon perdana menteri," kata Mazlan kepada Malaysiakini.

Tanggapan perpecahan antara Mahathir dan Muhyiddin timbul di tengah-tengah usaha pemimpin Bersatu untuk mengangkat Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

Semalam, Istana Johor mengumumkan setelah menemu duga 54 daripada 56 adun, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berpuas hati bahawa gabungan baru yang merangkumi Bersatu, BN dan PAS mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal berkata "beberapa individu" menyokong gabungan itu, dan keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Muhyiddin.

Bagaimanapun, adun PH semalam membuat sidang media yang menampilkan 28 adun, dan mencabar dakwaan gabungan baru itu memiliki majoriti.

Mazlan yang merupakan adun Puteri Wangsa, belum mengisytiharkan sokongannya, dan berkata sedang menunggu arahan daripada Mahathir.

Sementara itu, timbul spekulasi menteri besar Johor yang baru akan mengangkat sumpah hari ini.
Bagaimanapun ia dinafikan sumber yang dekat dengan Istana Johor.

"Sultan Johor kini di Kuala Lumpur untuk mesyuarat Raja-raja Melayu, dan apabila kembali hari ini, tuanku perlu menilai situasi berikutan cabaran berkenaan majoriti (yang dibuat PH semalam)," katanya kepada Malaysiakini.


Tiada ulasan: