Selasa, 14 Januari 2020

SPRM, PDRM perlu wibawa

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Elakkan persepsi awam yang boleh jejaskan kredibiliti institusi

BANGI – Kewibawaan adalah elemen penting bagi memastikan agensi penguatkuasa dipandang tinggi oleh orang awam, tegas Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zaid Ahmad.

Beliau berkata, dalam konteks sesebuah negara, telah diwujudkan pelbagai institusi yang dijadikan ‘tiang’ untuk mendirikan negara itu supaya menjadi kukuh dan berwibawa.

“Dalam hal ini, jika kita merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), satu agensi penting bagi memastikan tatakelola negara berjalan dengan baik seperti mana yang dilunaskan undang-undang.

“Bukan SPRM sahaja, semua institusi penguatkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) mesti setiap masa dalam keadaan berwibawa dan dilihat berwibawa oleh masyarakat awam.

“Ini kerana kita berada di dalam negara yang mana hak dan kedudukan kita dilindungi undang-undang berasaskan kewujudan dan kewibawaan agensi penguatkuasa tadi,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program temu bual Cakap Serupa Bikin di TV Pertiwi, malam semalam.

Mengulas lanjut, Dr Zaid berpandangan bahawa dalam isu rasuah yang membabitkan proses undang-undang, elemen yang penting perlu diuruskan adalah persepsi.

“Dalam kes rasuah, persepsi isu kita perlu berdepan. CPI (Indeks Persepsi Rasuah) mengenai persepsi individu terhadap institusi dan kelakuan rasuah.

“Sebab itu dalam konteks ini kewibawaan dan keutuhan institusi mestilah sentiasa berada di tahap kewibawaan paling tinggi dan tidak diganggu gugat oleh keadaan yang boleh menjejaskan persepsi awam terhadap institusi itu,” kata beliau.

Sebelum ini, SPRM memutarkan beberapa set rakaman audio perbualan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan lain-lain individu yang disifatkan oleh ketua badan anti rasuah itu, Latheefa Koya sebagai kebocoran maklumat daripada agensi itu.

Pada sidang akhbar khas, beliau berkata, klip audio itu berkaitan dengan perbualan yang membabitkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Pendedahan itu mendapat kecaman pelbagai pihak kerana dikatakan tidak profesional serta tiada intergriti.


Tiada ulasan: