Latheefa Koya mendedahkan sembilan set rakaman
percakapan selama 45 minit yang didakwa konspirasi jenayah di peringkat
tertinggi ketika sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini. -Foto
Bernama
"Rakaman itu sangat mengejutkan. Ia adalah cubaan untuk menutup keadilan," katanya.
"Semua ini adalah pelbagai tindakan jenayah yang serius termasuklah yang membabitkan penyalahgunaan kuasa.
"Ada elemen untuk melindungi dan ada juga elemen rasuah berlaku," katanya.
Beliau berkata, pihak forensik SPRM telah mengesahkan ketulenan rakaman audio tersebut.
"Ini adalah kepentingan awam yang perlu didedahkan. Media adalah pihak pertama diberikan pendedahan ini," katanya pada sidang media khas di ibu pejabat SPRM hari ini.
"Saya sudah mengarahkan pegawai saya untuk menyerahkan semua rakaman suara kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan," katanya.
Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dimaklumkan mengenai rakaman audio tersebut.
Sembilan rakaman audio yang diperdengarkan kepada media antaranya perbualan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkefly Ahmad yang ketika itu sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara yang menghubungi Najib untuk meminta pandangan selepas cadangan SPRM berhubung penyelewengan RM42 juta milik SRC.
Dalam perbualan telefon itu, Dzulkefly melahirkan kebimbangannya dengan penemuan panel khas tersebut dan Peguam Negara ketika itu Tan Sri Apandi Ali meminta bantuannya.
"Bila tengok kertas siasatan (IP) saya rasa nak menangis Datuk Seri (Najib).
"Dari segi undang-undang, Tan Sri Apandi dan saya boleh handle, tak ada isu. Selain daripada itu, saya tak sangka betapa seriusnya benda tu," kata Dzulkefly.
Selain itu, SPRM turut memainkan rakaman audio perbualan telefon antara Najib dan Pengerusi International Petroleum Investment Co (IPIC) Sheikh Mansour yang meminta untuk menyediakan satu perjanjian terhadap anak tirinya Riza Shahriz Abdul Aziz berkaitan dana untuknya menerbitkan filem.
Ia dipercayai bertujuan bagi menyelamatkan Riza daripada tuduhan pengubahan wang haram oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
Selain rakaman Najib, Dzulkefly dan Sheikh Mansor, SPRM turut mendedahkan rakaman perbualan Dzulkefly bersama bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Rahim, Dzulkefly dengan Pegawai Khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin serta Najib dan Amhari selain isterinya Rosmah Mansor.
Antara nama- nama yang dipetik dalam rakaman perbualan tersebut adalah adalah Tan Sri Abu Kassim, Tan Sri Gani Patail, Tan Sri Apandi Ali, Datuk Seri Azeez Rahim, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, Datuk Suboh Md Yasin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Abdul Aziz Ismail, Tan Sri Shukri Abdull, Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, Pengerusi International Petroleum Investment Co (IPIC) Sheikh Mansour Zayed al Nahyan, Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC) Khaldoon Al-Mubarak, Presiden UAE Khalifa Zayed Sultan Al Nahyan, Riza Aziz, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dan turut disebut Senator Khairul Azwan Harun.
Ketika ditanya lanjut mengenai pihak yang menghantar rakaman tersebut, Latheefa enggan mengulas lanjut.
"Untuk keselamatan kita tidak akan dedahkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan