Rabu, 8 Januari 2020

MAS ambil langkah elak terbang di ruang udara Iraq



SHAH ALAM - Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengambil langkah tidak melakukan penerbangan ke ruang udara Iraq ekoran konflik yang melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan negara itu ketika ini.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, langkah keselamatan yang diambil oleh syarikat tersebut itu melibatkan melibatkan penerbangan dari London, Jeddah dan Madinah.

"Pihak kami melakukan pemantauan secara aktif menerusi Sistem Pemantauan Penerbangan dan dipandu oleh beberapa penilaian termasuk laporan keselamatan global serta Notice To Airmen (NOTAMs) oleh pihak berkuasa kawalan udara," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, MAS berkata, semua kapal terbang syarikat itu turut dilengkapi oleh Komunikasi Satelit (Satcom) untuk membolehkan komunikasi segera dengan pesawat jika berlaku sebarang informasi kritikal termasuk keperluan untuk menukar arah penerbangan.

Awal pagi tadi, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas beberapa pangkalan udara di Iraq yang menempatkan tentera AS.

Antara yang menjadi sasaran ialah pangkalan udara Al Asad di barat Iraq dan Irbil di sebelah utara.

Serangan tersebut disahkan oleh Jabatan Pertahanan AS dalam satu kenyataan oleh Jonathan Hoffman, pembantu kepada Setiausaha Urusan Awam Pertahanan namun tiada maklumat mengenai kematian atau kecederaan akibat serangan itu dilaporkan setakat ini.

Tiada ulasan: