Jumaat, 24 Januari 2020

'Saman cukai RM1.69 bilion untuk singkirkan Najib dari politik'

HIDIR REDUAN ABDUL RASHID




Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa saman RM1.69 bilion terhadap Najib Razak didakwa sebagai satu percubaan untuk menyingkirkan bekas perdana menteri itu daripada arena politik, berikutan sumbangannya kepada kemenangan pembangkang dalam lima pilihan raya kecil.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan dakwaan ini dalam permohonan bekas menteri kewangan berkenaan untuk menangguhkan prosiding saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya.

Najib memohon perintah penangguhan itu sementara menunggu rayuan berhubung taksiran cukai bekas perdana menteri itu kepada LHDN.

Ketika sesi penghujahan di hadapan Hakim Ahmad Bache petang ini, Shafee berkata motif untuk menyingkirkan Najib daripada politik dilihat daripada saman yang tergesa-gesa difailkan LHDN, terutama dalam usaha berterusannya mendapatkan perintah mahkamah untuk mengeluarkan penghakiman terus terhadap Najib.

Mengikut Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, penghakiman terus adalah satu perintah mahkamah untuk mengeluarkan keputusan akhir dalam tindakan undang-undang jika terdapat kes jelas bahawa defendan tidak mempunyai pembelaan terhadap saman berkenaan.

"Mengapa tergesa-gesa untuk penghakiman terus? Kesimpulan yang jelas adalah supaya dia (Najib) boleh diisytiharkan muflis dan terkeluar dari arena politik,"kata Shafee.

"Mengapa tergesa-gesa untuk melakukan perkara itu demi mencapai manfaat untuk orang lain," katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut.

"Sebaik sahaja dia diisytiharkan muflis, secara politik dia akan habis. Kami membangkitkan notis kehakiman yang jelas di sini.

"Anak guam saya (Najib) telah memainkan peranan penting dalam lima pilihan raya kecil (PRK) terakhir (yang dimenangi pembangkang), di mana beliau menjadi popular. Adakah ini keadaan mala fide ini untuk mengelakkan anak guam saya daripada meneruskannya (dalam politik)?" kata Shafee di mahkamah.
Shafee merujuk kepada lima kemenangan BN dalam PRK, dengan PRK Kimanis pada 18 Jan lalu merupakan PRK yang kelima.

Semasa prosiding terbuka di mahkamah, DP Naban - seorang peguam swasta yang dilantik oleh LHDN - membalas bahawa permohonan penangguhan Najib adalah pramatang kerana defendan (Najib) masih perlu membayar RM1.69 bilion dalam jumlah cukai dikehendaki LHDN sementara menunggu rayuan berhubung taksiran cukai Najib kepada LHDN.

Naban, berkata ini kerana Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan yang dibaca bersama Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967, memerlukan seseorang membayar cukai taksiran tanpa mengira sama ada beliau merayu cukai taksiran semula dengan LHDN atau tidak.

Seksyen 103 menyatakan bahawa seseorang yang cukainya ditaksirkan sedemikian hendaklah membayar cukai yang diminta pada tarikh matang tidak kira sama ada dia merayu taksiran cukai semula dengan LHDN.

Seksyen 106 memberi kuasa kepada LHDN untuk memulakan saman sivil untuk mendapatkan kembali apa-apa cukai yang perlu dibayar oleh individu yang ditaksir.

Selepas beberapa jam kedua-dua pihak berhujah, Ahmad menetapkan 28 Februari ini untuk membuat keputusan mengenai permohonan Najib untuk menangguhkan saman berkenaan.

Sekiranya Najib tidak berjaya dalam permohonan penangguhan, mahkamah akan meneruskan permohonan LHDN untuk mengeluarkan penghakiman terus dalam saman cukai terhadap Najib.
Kerajaan memfailkan saman berkenaan terhadap Najib pada 25 Jun.

Ia menuntut lebih RM1.69 bilion daripada bekas Perdana Menteri itu, dengan kadar tahunan lima peratus faedah bermula dari tarikh penghakiman, dan juga kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan berkata Najib gagal membayar cukai pendapatannya antara 2011-2017 dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan selepas notis taksiran dikeluarkan.

Oleh itu, jumlah hutang setiap tahun meningkat sebanyak 10 peratus.

Ia juga berkata Najib diberi tempoh 60 hari untuk membayar cukai berkenaan, bersama-sama dengan peningkatan 10 peratus, tetapi masih gagal berbuat demikian.

Berikutan itu, Najib dikenakan dengan satu lagi kenaikan lima peratus terhadap kenaikan 10 peratus, menjadikan jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar sebanyak RM1,692,872,924.83.

Jumlah cukai setiap tahun adalah seperti berikut:

2011: RM134,180,247.10
2012: RM370,674,071.81
2013: RM1,029,767,352.60
2014: RM137,612,077.11
2015: RM19,495,822.53
2016: RM743,179.21
2017: RM400,174.47


Tiada ulasan: