Jumaat, 24 Januari 2020

Pemuda Umno laporkan penjualan aset anak syarikat TH ke SPRM

MALAYSIAKINI



Tindakan Lembaga Tabung Haji (TH) menjual sebahagian daripada ladang kelapa sawit milik Tabung Haji Plantations (THP) akan diadukan Pemuda Umno Malaysia ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Ketuanya Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihak berwajib perlu menyiasat dengan segera tindakan pihak terbabit menukar jurunilai yang menyebabkan nilai hartahan TH menyusut daripada RM380 juta kepada RM170 juta.

Untuk rekod, nilai RM380 juta itu adalah pada 2017.

"Pemuda Umno membuat laporan polis dan SPRM untuk menyiasat dengan segera tindakan penukaran jurunilai, kaedah nilaian yang menghilangkan nilai RM210 juta dan proses penjualan kepada Tamaco Plantations Sdn Bhd (Tamaco), kerana ini melibatkan isu kepentingan rakyat yang kita harap dapat perhatian serius dari pihak berwajib.

"Kami juga sedang meneliti untuk memfailkan tindakan injuksi di mahkamah bagi pihak pendeposit TH," katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

TH merupakan badan yang menjaga hal ehwal jemaah haji dan berada bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi juga mendesak Mujahid segera menyatakan pendirian dan mengambil tanggungjawab berhubung penjualan aset THP itu.

Mahu menteri letak jawatan

"Sebenarnya ini satu isu yang besar. Walaupun didedahkan oleh Najib (Razak) beliau (Mujahid) seolah-olah mendiamkan diri. Terutamanya kita minta menteri (jawab) kerana dia yang menjaga kepentingan 9.4 juta pendeposit TH.

"Dia kena ingat tanah ini ada nilai yang begitu tinggi. kalau 76.2 peratus tanah umat Islam ini dijual kepada pihak swasta, yang kita (nak) tengok lembaga pengarahnnya siapa," katanya.

Tambah Asyraf Wajdi lagi, Mujahid sepatutnya menjelaskan mengenai penjualan berkenaan kepada orang Islam di negara ini.

"Beliau tidak boleh terus membisu dan menyepikan diri lagi walaupun isu ini telah didedahkan selepas hampir seminggu.

"Ini perkara yang mendukacitakan dan sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab tidak seharusnya beliau mendiamkan diri dalam hal ini.

"Sebab ini di bawah Akta Tabung Haji, menteri yang bertanggungjawab, bukannya perdana menteri. Menteri harus bertanggunjawab dalam hal ini," katanya.
Selain itu, tegas Asyraf THP juga dituntut untuk menghentikan serta-merta penjualan baki 11 anak syarikat mereka sebagaimana yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah THP.

Sekiranya gagal berbuat demikian, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mendesak agar Mujahid mengambil tindakan sama seperti Dr Maszlee Malik yang meletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

"Kalau menteri kata serah kepada pengurusan TH untuk jawab saya rasa itu tidak bertanggungjawab kerana dia adalah bertanggungjawab untuk menjawab kepentingan 9.4 juta pendeposit TH.

"Kalau rasa tidak boleh, lebih baik ikut jejak langkah Dr Maszlee balik semua ke bidang akademik.
Sebab dia dulu rasa dia lebih cerdik daripada yang cerdik. Tak sampai tahap pemikiran dia," katanya lagi.

Isu penjualan tanah-tanah ladang kelapa sawit milik THP mula dibangkitkan Najib yang juga bekas perdana menteri Najib, minggu lalu.

Najib berkata THP sudah menjual 76.2 peratus daripada jumlah keluasan tanah ladang kelapa sawit yang berjumlah 110,000 hektar kepada dua syarikat.


Tiada ulasan: