SPR tetapkan hari mengundi pada 18 Januari depan
BEAUFORT Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan
satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan
Nasional (BN).
Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian
Warisan Kimanis Datuk Karim Bujang, 67, yang akan dicabar oleh calon BN,
Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.
Mohamad calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.07 pagi, diikuti Karim pada 9.10 pagi.
Pegawai Pengurus PRK Kimanis Jupari@Jufry Etok mengumumkan nama calon yang bertanding untuk PRK Kimanis pada pukul 10.25 pagi.
Sebelum itu, pusat penamaan calon di
Dewan Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun Banir dibuka pada pukul 9.00 pagi
dan proses mengemukakan borang pencalonan berjalan lancar selama sejam.
Pemimpin parti yang mengiringi Karim ke
pusat penamaan antaranya Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi
Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail, Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd
Shafie Apdal, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri
Mukhriz Tun Mahathir.
Karim ialah calon Warisan bagi kerusi itu
pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei 2018, namun kalah dengan
majoriti 156 undi kepada bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, yang
ketika itu bertanding atas tiket BN.
Anifah memperoleh 11,942 undi dalam
pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi
manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail meraih 1,300
undi.
PRK di kawasan parlimen itu diadakan
selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember tahun lepas mengekalkan
keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan
kemenangan Anifah.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada
16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu
pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sebagai tidak sah dan terbatal
selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan
keputusan pilihan raya.
Karim memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.
Semalam, Mahkamah Persekutuan di
Putrajaya menolak usaha terakhir Anifah Aman untuk menyemak semula
keputusan dibuat mahkamah sama yang membatalkan kemenangannya di kerusi
Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14, yang menyaksikan pilihan
raya kecil diadakan di kawasan itu.
Karim dari Kampung Brunei Kimanis adalah
bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan selama lima penggal
dari 1990 hingga 2013.
Beliau pernah menjawat jawatan kanan
dalam Kabinet Sabah sebagai Pembantu Menteri Kewangan dan Pembantu
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Sementara itu, Mohamad adalah bekas ADUN
Bongawan selama sepenggal selepas tewas pada PRU14 kepada Dr Daud Yusof
dari Warisan bagi kerusi berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan
tarikh penamaan calon PRK Parlimen Kimanis pada hari ini dan hari
mengundi pada 18 Januari manakala hari pengundian awal pada 14 Januari.
Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan
Dewan Undangan Negeri iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664
pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang
pengundi tidak hadir luar negara.
Pemilih itu terdiri daripada 14,800
lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih
dan DUN Membakut 13,391 pemilih.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan