Calon BN azam perkuatkan suara rakyat Sabah di parlimen
HASPAIZI ZAIN & KOW GAH CHIE
PRK KIMANIS | Calon BN bagi
Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Mohamad Alamin berazam untuk membawa
dan memperkuatkan suara rakyat Sabah ke parlimen sekiranya dipilih
sebagai anggota parlimen Kimanis, 18 Jan nanti.
Beliau berkata, rakyat Sabah jelas tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan hari ini.
"Saya akan membawa suara rakyat Sabah, kita akan luahkan supaya sampai kepada kerajaan.
"Kita
akan lihat apa-apa isu semasa, ketikdakpuasan hati rakyat terhadap
kerajaan jelas," katanya selepas selesai penamaan calon di Dewan Datuk
Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort, hari ini.
Mohamad
yang dipertaruhkan BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis bakal
berdepan pencabarnya dari parti Warisan Sabah, Karim Bujang.
Mohamad merupakan calon pertama tiba pada jam 9.07 pagi dan selesai menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.27 pagi.
Manakala Karim yang tiba pada jam 9.13 pagi selesai mengisi borang pencalonan pada jam 9.30 pagi.
PRK
parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas
mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang
membatalkan kemenangan
Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
Mahkamah
Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan
kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas
mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan
pilihan raya.
Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.
Beliau
mendapat 11,942 undi berbanding 11,786 undi yang diperoleh Karim
manakala seorang lagi calon, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat
Sabah, mendapat 1,300 undi.
Mohamad hadir dengan diringi pemimpin
utama BN iaitu Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan,
Pengerusi Umno
Sabah, Bung Mokhtar Radin, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan bekas
Perdana Menteri Najib Razak.
Ribuan penyokong kedua-dua parti berkumpul bagi memberi sokongan kepada calon yang bertanding.
Proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata beliau akan terus memulakan kempenya petang nanti untuk bertemu pengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan