Khamis, 9 Januari 2020

Polis siasat penulis surat kritik hiasan Tahun Baru Cina di sekolah Puchong

Hiasan bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina itu menjadi 
tradisi SMK Pusat Bandar Puchong I sejak 10 tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengarahkan siasatan dijalankan ke atas penulis sepucuk surat mengkritik hiasan sambutan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah di Puchong.

Katanya, beliau mendapati ada unsur ugutan dan menghasut dalam surat itu.
“Saya sudah mengarahkan satu siasatan dijalankan ke atas penulis surat tersebut,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak perlu bimbang kehilangan hak mereka yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau sudah mendengar penjelasan polis Selangor berhubung isu itu.

“Saya dapati pihak sekolah tidak melakukan apa-apa kesalahan di atas inisiatif mereka menghias sekolah sempena sambutan Tahun Baru Cina,” kata Hamid berhubung inisiatif Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong I itu.

Beliau sebaliknya berkata, usaha itu dapat menjalin hubungan lebih erat antara rakyat melalui pemahaman budaya masing-masing.

“Saya memuji pihak sekolah atas inisiatif menyuburkan perasaan saling hormat-menghormati antara pelbagai budaya di negara ini,” katanya.

Semalam, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengancam akan melaporkan sekolah itu yang didakwanya meletakkan hiasan Tahun Baru Cina bersifat keagamaan.

Surat yang ditujukan kepada pengetuanya, Rohani Mohd Noor, memaklumkan ia menerima aduan ibu bapa yang tidak selesa dengan hiasan “berlebihan” Tahun Baru Cina di sekolah berkenaan.

Katanya, tindakan sekolah itu bertentangan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan kerana ibu bapa merasakan hiasan terbabit ialah cubaan untuk menyebarkan kepercayaan agama lain kepada pelajar Islam.

Tiada ulasan: