Rabu, 8 Januari 2020

SPRM dedah rakaman audio Najib berkait skandal 1MDB

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada sidang media 
selepas pendengaran rakaman audio dikatakan Najib Razak 
dan 7 individu lain berkenaan 1MDB dan SRC International.
 
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan rakaman audio dikatakan antara bekas perdana menteri Najib Razak dan 7 lagi individu berkenaan 1MDB dan bekas anak syarikat, SRC International.

Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya memainkan rakaman itu pada satu sidang media di ibu pejabat SPRM hari ini, di hadapan lebih 50 wartawan.

Beliau menjelaskan rakaman itu antara Najib, pegawai kerajaan, dan 2 individu dari Emiriah Arab Bersatu, menunjukkan seperti ada konspirasi untuk memanipulasikan maklumat.

“Kita baru terima rakaman audio ini,” katanya kepada pemberita selepas pendengaran rakaman itu, tanpa mendedahkan sumber rakaman itu, yang diterima beberapa hari selepas tahun baru 2020.

Latheefa berkata terdapat 9 rakaman percakapan melibatkan 8 individu. SPRM akan memberikan bahan-bahan itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

Beliau menambah SPRM perlu mengambil masa untuk menganalisis rakaman itu, yang pertama kali didedahkan kepada umum pada sidang media hari ini.

“Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga belum mengetahui rakaman audio ini,” katanya.

Audio hari ini merupakan rakaman panggilan telefon antara 5 Jan 2016 dan 29 Jul 2016.

SPRM menamakan 8 orang yang terlibat dalam perbualan yang dirakam itu, antaranya Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor; Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Rahim; bekas timbalan pendakwa raya awam Dzulkifli Ahmad; Putera Mahkota UAE, Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Development Company, Khaldoon Al-Mubarak.

Menurut SPRM, terdapat 20 nama disebut dalam rakaman itu, antaranya bekas naib ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun; bekas peguam negara Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali; bekas ketua pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas pengarah Suboh Md Yassin; dan pengarah urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman.

Juga disebut Presiden UAE, Khalifa bin Zayed Al Nahyan, dan Pengerusi International Petroleum Investment Company, Mansour bin Zayed Al Nahyan, yang juga timbalan perdana menteri negara itu.

Menurut Latheefa, dalam satu rakaman itu, perbualannya sekitar kertas siasatan kes SRC International.

“Terdapat kebocoran maklumat yang jelas dari Jabatan Peguam Negara kepada orang yang kami percaya adalah subjek penyiasatan,” katanya.

SPRM mendapati rakaman audio itu mungkin menunjukkan beberapa kesalahan iaitu salah guna kuasa, konspirasi jenayah, dan percubaan memalsukan bahan bukti.

“Kami dapat menjamin kesahihan rakaman,” kata Latheefa.

Tiada ulasan: