Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, memberitahu parti itu tidak
membuat sebarang permohonan untuk menyertai kerajaan PH walaupun beliau
mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad
baru-baru ini.
Sebaliknya, Abdul Hadi menyatakan, pertemuan berkenaan dibuat ekoran ada "permintaan" daripada pihaknya.
"Saya jumpa tak minta masuk kabinet, tak payah rungsinglah.
"Kita tak campur hal lain dan kita tak ada hasrat nak masuk PH," katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Rusila, Terengganu, hari ini.
Beberapa hari lalu, tular gambar menunjukkan Mahathir menjadi tuan rumah kepada kunjungan Abdul Hadi dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Jumpa bila rasa perlu
Gambar itu kemudian mencetuskan gosip kononnya ada usaha membawa masuk PAS untuk menyertai PH. Beberapa pihak pula mendakwa dalam pertemuan tersebut beberapa hal berkaitan Muafakat Nasional - membabitkan PAS dengan Umno - turut dibicarakan.
Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menafikan parti itu pernah terfikir untuk menyertai gabungan kerajaan.
Beberapa pihak pula mendakwa, pertemuan tersebut dibuat untuk mengukuhkan lagi jaminan PAS kepada Mahathir sebagai perdana menteri.
Menurut
Abdul Hadi, beliau boleh bertemu sesiapa saja yang dirasakan perlu
termasuklah perdana menteri jika berasa ada keperluan untuk berbuat
demikian.
"Saya jumpa orang apabila perlu. Kalau tak perlu saya tak jumpa, agak perlu, saya jumpa. Kalau tak perlu saya tak jumpa dengan sesiapa.
"Saya jumpa masa dia jadi perdana menteri dan tak jadi perdana menteri pun saya jumpa.
"Semasa dia jadi perdana menteri dulu, tahun 1990-an saya pernah jumpa, tak ada apa-apa kepentingan," katanya.
Mengulas mengenai pertemuan berkenaan didakwa bakal merubah landskap politik negara, Abdul Hadi berkata itu hanya andaian pihak tertentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan