HULU SELANGOR – Mana-mana bekas pemimpin UMNO yang
menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh mengambil
bahagian dalam perebutan jawatan pada Pemilihan parti itu kali ini.
Bagaimanapun, menurut Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir
Mohamad, hanya bekas pemimpin UMNO yang bersih daripada sebarang kes
rasuah sahaja diberikan pengecualian untuk mengemukakan nama mereka.
“Secara umumnya mereka (bekas ahli dan pemimpin UMNO)
tidak dibenarkan (bertanding), tapi berdasarkan kepada beberapa kes,
kita akan benarkan (mereka bertanding).
“Mereka tidak boleh bertanding tapi kita beri pengecualian
untuk beberapa kes, yang tidak dikaitkan dengan mana-mana kes jenayah,”
katanya dalam sidang media selepas sempena lawatan beliau ke Depot DMIA
Serendah, hari ini.
Pada 8 Januari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti
Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata, semua jawatan Majlis
Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu 2019-2022 akan dipertandingkan semasa pemilihan tertinggi parti itu yang akan diadakan pada 4 April ini.
Pemilihan itu akan dibuat pada tarikh berkenaan termasuk mengumumkan keputusannya pada hari yang sama.
Ditanya mengapa pemilihan Bersatu ditangguhkan, Dr.
Mahathir berkata, keputusan itu dibuat memandangkan terdapat masalah
pendaftaran ahli.
“Pendaftaran ahli Bersatu sedang berhadapan dengan pelbagai masalah,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi.
Untuk rekod, pemilihan semua barisan jawatankuasa Bersatu
akan diadakan sempena dengan Persidangan tahunan Cawangan-Cawangan
Bersatu yang berlangsung 26 Januari hingga 1 Mac depan.
Ia melibatkan peringkat cawangan, bahagian, MPT termasuk sayap-sayap Srikandi dan Armada. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan