Rabu, 15 Januari 2020

Kerajaan Perak diminta tangguh beri tanah hak milik 999 tahun

azrul hakimie

 

Dijangka serah sebelum sambutan Tahun Baharu Cina

IPOH, Kerajaan negeri Perak diminta menangguhkan pemberian hak milik tanah 999 tahun kepada kampung-kampung baru di negeri itu yang dijangka diberikan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Presiden Majlis Belia Perak, Aswannudin Hariffudin berkata ini kerana kerajaan negeri perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai kriteria penerima serta jumlah lot tanah yang akan diberikan kepada mereka yang layak.

“Kita berasa amat risau sekiranya pemberian hak milik tanah kekal ini dilakukan secara terburu-buru, tidak jelas dan tidak difahami secara jelas oleh rakyat sekali gus boleh menyebabkan kegusaran atau pertikaian antara satu sama lain.” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan satu salinan saman pemula beserta afidavit kepada kerajaan negeri yang diterima oleh Pegawai Khas Menteri Besar, Mohd Jaffrey Mohd Zainol di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Disember lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata kerajaan negeri dijangka dapat melaksanakan pemberian hak milik kekal tanah seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14 ) dalam masa terdekat.

Abdul Aziz berkata satu dasar terperinci dan jelas akan dibuat mengenai perkara itu, termasuk mengenai harga premium tanah yang akan diberikan hak milik kekal dan keputusan mengenai pemberian tersebut akan diumumkan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina tahun depan.- Bernama


Tiada ulasan: