Selasa, 14 Januari 2020

Kadir gesa ambil tindakan laporan India sekat minyak sawit Malaysia

Kadir Jasin berharap Malaysia boleh menanam sendiri lebih 
banyak makanan yang diimport dari India dan negara lain.
 
PETALING JAYA: Wartawan veteran, A Kadir Jasin hari ini menggesa kerajaan mempertimbangkan pendiriannya ke atas pekerja, ekspatriat dan produk dari India selepas New Delhi dilapor mengehadkan pengimportan minyak sawit dari Malaysia.

Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia menganggarkan 150,000 pekerja dan ekspatriat India berada di negara ini.

“Selama beratus tahun, kita menerima pendatang dari India. Ada yang tinggal sementara, tetapi ramai yang terus tinggal di sini dan menjadi warganegara.

“Disebabkan India menghukum pengimportan produk minyak sawit kita sebagai satu bentuk tindakan balas, kita mungkin perlu mempertimbangkan kedudukan pekerja dan ekspatriat India di negara kita dan produk yang kita import dari India.

“Saya rasa kita perlu menanam sendiri lebih banyak makanan yang kita import dari India dan tempat lain,” tulisnya di Facebook hari ini.

Pada 8 Jan lalu, India dilaporkan mengenakan sekatan ke atas pengimportan minyak sawit bertapis dan olein sawit, yang dilihat sebagai tindakan balas kepada Malaysia selepas mengkritik tindakan ketenteraan India di Kashmir dan undang-undang kewarganegaraan barunya.

Sumber kerajaan dan industri India dipetik Reuters berkata, kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi berhasrat menyasarkan Malaysia susulan kritikan Dr Mahathir Mohamad terhadap negara itu baru-baru ini.

September lalu, Mahathir dilaporkan berkata, India menceroboh dan menduduki Kashmir susulan tindakan ketenteraan ke atas wilayah majoriti penduduknya beragama Islam.

Bulan lalu, Mahathir mengkritik undang-undang kewarganegaraan baru yang diluluskan New Delhi, tetapi dibantah rakyatnya kerana mendiskriminasi pendatang Islam.

Hari ini, Mahathir yang bimbang dengan laporan mengenai rancangan New Delhi mengehadkan pengimportan minyak sawit Malaysia, sekali lagi mempertahankan dirinya dengan mengkritik dasar India ke atas Kashmir dan undang-undang kerakyatan penuh kontroversi.

“Kita bimbang, sudah tentu kerana kita jual banyak minyak sawit kepada India tetapi dalam erti kata lain, kita perlu bercakap jujur dan katakan perkara yang benar jika terdapat kesalahan.”

Kelmarin, Menteri Industri Utama, Teresa Kok menepis laporan India melaksanakan sekatan ke atas pengimportan minyak sawit bertapis dari Malaysia kerana ia sekadar “khabar angin”.

Ini susulan laporan Kementerian Perdagangan dan Industri India mengumumkan pengimportan minyak sawit bertapis “sudah dipinda daripada ‘bebas’ kepada ‘terhad'”.

Kok mengesahkan kewujudan memo itu, tetapi berkata, pemberitahuan itu tidak menyebut secara jelas minyak sawit bertapis Malaysia.

Tiada ulasan: