Selasa, 7 Januari 2020

Bekas pegawai kanan DBKL mengaku tak bersalah terima rasuah RM1 juta

Peguam meminta mahkamah memberi jaminan rendah atas alasan 
Sabudin Mohd Salleh perlu menyara isteri serta 3 anak, selain 
tertuduh menghidap penyakit darah tinggi, kolesterol tinggi dan gout.
 
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 6 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,080,000 pada 2018 dan 2019.

Sabudin Mohd Salleh, 58, yang merupakan bekas timbalan pengarah kanan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di depan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, Sabudin didakwa menerima wang tunai RM700,000 daripada Ang Huck Koon melalui B Chandrasegar sebagai dorongan memperakukan tuntutan bayaran kepada Syarikat Juara Cahaya Sdn Bhd bagi cadangan menggantikan jambatan konkrit kepada jambatan baru merentangi Sungai Klang di Jalan Jelatek, di sini.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Pusat Beli-belah Bangsar antara 4 April hingga 8 Mei tahun lepas mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa menerima RM20,000 daripada Lim Hong Jun, iaitu pengarah Haneka Sdn Bhd sebagai dorongan selepas mengesyorkan pelantikan BY Five HDD Sdn Bhd, Sutera Unik Sdn Bhd dan Uyin Enterprise untuk cadangan kerja penyelenggaraan infrastruktur awam sistem jalan raya dan perparitan di Kuala Lumpur bagi 2017 hingga 2019.

Mengikut pertuduhan ke-3, dia dituduh menerima RM10,000 daripada Lim sebagai balasan selepas memperakui sijil tuntutan pembayaran 3 syarikat itu untuk cadangan kerja penyelenggaraan sama.

Tertuduh juga didakwa menerima RM150,000 daripada Chia Chee Seng yang merupakan pengarah Tegap Elit Sdn Bhd yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana, di sini, antara 13 hingga 19 Ogos 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ke-5 dan ke-6, tertuduh didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM100,000 daripada Wong May Kuan, iaitu subkontraktor Dusari Niaga sebagai upah memberi 3 permit kerja, kerja pembaikan serta menaik taraf bebendul dan siar kaki di Lorong Ceylon serta kawasan sekitarnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka di sebuah stesen minyak serta di rumahnya di Ukay Perdana pada 9 Jun 2018 dan 17 Jan 2019.

Bagi pertuduhan ke-2, ke-3, ke-5 dan ke-6, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM150,000 dengan 2 penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam Hamidi Mohd Noh memohon mahkamah memberi jaminan rendah atas alasan tertuduh memberi kerjasama baik dengan SPRM dan dia penanggung utama keluarga.

“Tertuduh menanggung isteri serta 3 anak, tertuduh juga menghidap penyakit darah tinggi, kolesterol tinggi dan gout.

“Tertuduh adalah penjawat awam jelas menunjukkan tertuduh bukan orang berkemampuan dan mempunyai sumber pendapatan tinggi.”

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM120,000 dengan 2 penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 17 Feb ini dan menetapkan 27 hingga 30 Julai, 3 hingga 6 Ogos dan 17 hingga 19 Ogos ini untuk perbicaraan.

Tertuduh membayar jaminan itu.

Tiada ulasan: