Selasa, 7 Januari 2020

Menteri setuju sistem lebih ketat ambil pekerja Bangladesh





PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran setuju perlu ada sistem lebih ketat untuk memudahkan pengambilan pekerja Bangladesh.

Ia susulan laporan akhbar Bangladesh, Daily Star pada Ahad lalu yang kerajaan Bangladesh tidak mahu menghantar rakyatnya bekerja di Malaysia sehingga Putrajaya melaksanakan sistem pengambilan pekerja yang lebih telus dan berkos rendah.

“Perlu ada sistem di Bangladesh sendiri untuk menghentikan penghantaran pekerja tidak diperiksa dan itu yang mereka cuba lakukan,” kata Kula di luar hari terbuka kementeriannya hari ini.

“Kami ada kes di mana ramai pekerja asing didakwa didera di Malaysia atau dieksploitasi ejen yang mengenakan bayaran tinggi kepada mereka untuk datang ke sini. Apabila kita menandatangani MoU dengan Nepal, satu daripada syaratnya ialah apabila pekerja datang, ia tidak patut membabitkan bayaran.

“Kos sifat untuk pekerja – itu bermakna tiket penerbangan dan perbelanjaan lain perlu ditanggung majikan.”

Walaupun Malaysia melaksanakan moratorium ke atas pengambilan pekerja Bangladesh pada 2018, masih ada pekerja asing yang datang ke Malaysia dikenakan yuran pemprosesan kira-kira RM20,000 untuk memudahkan kelulusan permit kerja dan urusan lain.

Daily Star melaporkan agensi pengambilan pekerja menyalahkan ejen haram di kedua-dua negara untuk kos tinggi itu yang turut dipersetujui Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan luar Negara, Imran Ahmad.

Beliau juga bimbang dengan tindakan Jabatan Negara Amerika Syarikat meletakkan Malaysia di Tahap 2 Pemerhatian dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) bagi tahun kedua berturut-turut pada 2019, dan memberi amaran sekatan akan dikenakan jika negara terus berada dalam senarai itu tahun ini.

Walaupun Putrajaya menggantung pengambilan pekerja Bangladesh pada September 2018 sementara menunggu siasatan ke atas sistem yang digunakan untuk mengambil pekerja, Kula berkata, rundingan dua hala berhubung syarat baru pengambilan pekerja berjalan lancar.

Katanya, rundingan untuk menarik balik moratorium itu dilakukan selama beberapa bulan dan sebuah kumpulan pegawai mungkin ke Bangladesh bulan ini untuk menyelesaikan perkara itu.

“Ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan. Hanya satu atau 2 perkara daripada 10 hingga 12 perkara.

“Sebaik saja selesai, kami akan buka semula sektor itu. Kerajaan Malaysia bersedia berbuat demikian (menarik balik moratorium).”

Tiada ulasan: