Rabu, 22 Januari 2020

Adun Gadek mengaku tak bersalah beri sokongan kepada LTTE





KUALA LUMPUR: Adun Gadek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) menggunakan aplikasi Facebook.

G Saminathan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin.

“Minta dibicarakan,” kata Saminathan selepas Hakim Muhammad Jamil bertanya sama ada dia mengaku bersalah ataupun minta dibicarakan atas pertuduhan tersebut.

Dia didakwa memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan Facebook atas nama “Gsami Nathan Siva“ di Pejabat Pegawai, Bahagian E8 (M) Cawangan Khas, Bukit Aman pada 9.30 malam, 8 Okt 2019.

Saminathan dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah peruntukan sama yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Abu Hanipah memaklumkan mahkamah tertuduh mempunyai kes lain berkaitan LTTE di Mahkamah Tinggi berasingan.

“Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 11 Feb untuk sebutan kes, sehubungan itu saya memohon tarikh sama di mahkamah ini.

“Dalam masa sama, pihak pendakwaan akan membuat permohonan untuk menentukan mahkamah mana yang akan mendengar kes ini,” katanya.

Hakim menetapkan 11 Feb untuk sebutan kes Saminathan yang diwakili peguam Harshaan Zamani.

Pada 20 Jan lepas, Saminathan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki barang dan memberi sokongan berkaitan LTTE selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Dia dituduh memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 Nov 2018.

Satu pertuduhan memiliki barang berkaitan LTTE di dalam sebuah telefon bimbit di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri, di Melaka, pada 10.25 pagi, 10 Okt 2019.

Tiada ulasan: