Rabu, 22 Januari 2020

Hina Islam di FB, pekerja Sri Lanka didenda lebih RM500,000

3 pekerja Sri Lanka di UAE didakwa membuat hantaran yang 
menyinggung agama Islam di Instagram dan Facebook.
 
PETALING JAYA: Tiga pekerja warga Sri Lanka yang bekerja di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) didenda 500,000 dirham (RM553,310) selepas didakwa menghina Islam melalui media sosial, lapor portal Stepfeed.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah resort bertaraf 5 di Dubai, dikatakan membuat hantaran yang menyinggung agama Islam di Instagram dan Facebook.

“Saya mendapat tahu mengenai hantaran 3 pekerja itu pada Mei tahun lalu. Kami memanggil mereka untuk membuat siasatan dalaman. Mereka mengaku membuat hantaran tersebut di Facebook,” kata rakan sekerja mereka.

Ketika memberi keterangan di mahkamah, polis berkata pihaknya menyita bilik penginapan tertuduh serta merampas telefon bimbit dan komputer riba mereka, selain tangkap layar dan imej yang dihantar ke media sosial digunakan sebagai bukti dalam kes itu.

Mahkamah Dubai membicarakan ketiga-tiga mereka di bawah undang-undang anti-diskriminasi dan kebencian dan Kanun Keseksaan.

Mereka didenda 500,000 dirham dan akan dihantar pulang ke negara asal selepas membayar tersebut. Ketiga-tiga tertuduh tidak merayu bagi kes mereka dan keputusan terhadap mereka dianggap muktamad.

UAE mengharamkan semua jenis diskriminasi agama atau kaum di bawah undang-undang yang diluluskan pada 2015.

Undang-undang Anti-diskriminasi atau Anti-kebencian itu melarang semua perbuatan “yang membangkitkan kebencian agama dan atau menghina agama melalui apa-apa bentuk ungkapan, sama ada ucapan atau tulisan, buku, risalah atau melalui media atas talian.

Undang-undang itu bertujuan untuk menentang “diskriminasi terhadap individu atau kumpulan berdasarkan agama, kasta, doktrin, bangsa, warna atau asal etnik.”

Tiada ulasan: