Denda, penjara jika peniaga gagal patuhi award oleh Tribunal
KUALA LUMPUR– Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2019,
bertujuan antaranya bagi meningkatkan hukuman terhadap mana-mana orang
yang gagal mematuhi ‘award’ dibuat Tribunal Tuntutan Pengguna
(Tribunal), diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng
Jen ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, pindaan terhadap Akta
Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) berkenaan, secara tidak langsung
akan memaksa peniaga bertindak lebih adil kepada pengguna.
“Mana-mana
peniaga yang gagal selepas 14 hari untuk mematuhi sesuatu award yang
dibuat oleh Tribunal melakukan satu kesalahan, apabila disabit boleh
didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun,
atau kedua-dua sekali,” katanya.
Beliau
berkata, peniaga yang enggan membayar jumlah award yang dikeluarkan
Tribunal, boleh dikenakan penalti tambahan iaitu tidak kurang daripada
RM100 dan tidak melebihi RM5,000 setiap hari.
Tribunal
yang ditubuhkan sejak 15 November 1999 berperanan menyediakan saluran
alternatif kepada pengguna, untuk menuntut hak secara tebus rugi dan
menyelesaikan pertikaian dengan cara lebih mudah.
Terdahulu,
ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, Chong berkata, RUU
itu juga bertujuan meningkatkan had nilai bidang kuasa Tribunal
daripada RM25,000 kepada maksimum RM50,000.
Beliau
berkata, peningkatan had nilai bidang kuasa itu perlu, bagi memastikan
peranan serta fungsi Tribunal kekal relevan mendepani cabaran isu-isu
pertikaian dan tuntutan kepenggunaan di negara ini.
Katanya,
pindaan terakhir terhadap Akta 599 dibuat 16 tahun lepas, untuk
menaikkan had nilai bidang kuasa Tribunal daripada RM10,000 kepada
RM25,000.
Sidang dewan bersambung esok.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan