Sabtu, 27 Julai 2019

Bahaya ke saya main Facebook?

tyrazalhe

 

Najib kata PH boleh saman jika data yang dikongsi salah atau fitnah

BANGI – Datuk Seri Najib Razak hari ini mendedahkan sudah banyak kali kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuba menyekat beliau untuk aktif di media sosial, terutama Facebook.

Bekas perdana menteri itu berkata, kerajaan PH pernah meminta hakim untuk mengenakan dua syarat kepadanya sebelum membenarkan bebas dengan ikat jamin, tahun lalu.

Beliau berkata, syarat itu termasuklah tidak boleh mengeluarkan kenyataan atau menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter, selain dilarang menganjurkan atau menghadiri sebarang acara awam kecuali berkaitan agama.

“Bahaya sangat ke saya main Facebook? Mengancam sangat ke saya hadir acara awam?

“Alhamdulillah, tuan hakim menolak syarat-syarat kerajaan PH masa itu, dan saya masih boleh menjelaskan dan menyangkal fitnah PH terhadap saya dan kerajaan BN dahulu melalui media sosial,” katanya di Facebook beliau, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jika fakta, huraian dan data yang dikongsikan di Facebooknya itu salah atau fitnah, kerajaan PH boleh menyangkal dan membuat saman fitnah ke atasnya.

“Apa susahnya? Saya tak sama dengan PH sebelum PRU14. Saya tak fitnah dan tak caci maki. Saya tak ajak rakyat untuk merusuh atau turun ke jalan raya untuk berguling-guling seperti PH dahulu.

“Kenapa PH perlu main sekat-sekat dan halang saya pula?,” soalnya.

Semalam, pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd mengemukakan permohonan rasmi bagi menuntut Najib memohon maaf kepada mahkamah kerana menyiarkan hantaran di laman Facebooknya berhubung keterangan saksi membabitkan penggunaan kad kredit miliknya.

Melalui permohonan yang difailkan semalam, Pendakwa Raya memohon Mahkamah Tinggi mendengar secepat mungkin usul pihaknya supaya bekas perdana menteri itu memohon maaf sendiri terhadap penerbitan subjudis dalam Facebook miliknya pada 9.30 malam, 15 Julai lalu dan 11.23 pagi, pada 17 Julai lepas.

Pendakwa Raya juga memohon perintah supaya Najib dihalang daripada menerbitkan atau menyebabkan pernyataan itu diterbitkan berkaitan keterangan dikemukakan saksi dalam perbicaraan kes SRC yang dihadapinya.

Pendakwa Raya selaku pemohon juga memohon perintah, bahawa Najib yang dinamakan sebagai responden yang menyebabkan penerbitan yang dipersoalkan itu dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.


Tiada ulasan: