Isnin, 29 Julai 2019

GPS lebih baik, PAS Sarawak jawab sindiran DAP


Ketua Penerangan PAS Sarawak Zharudin Narudin. (Gambar 
Facebook)
 
KUCHING: Seorang pemimpin PAS negeri berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang baru-baru ini didakwa merupakan anggota ke-3 ‘gabungan cemar’ antara Umno dan PAS oleh Pakatan Harapan (PH) Sarawak, adalah lebih baik daripada DAP.

Ketua Penerangan PAS Sarawak Zharudin Narudin berkata, DAP dan PH tidak memenuhi harapan rakyat maupun menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya mereka.

Zharudin memberi respons terhadap kenyataan Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen semalam bahawa gabungan PAS-Umno merupakan ancaman kepada kerajaan PH dan terdapat anggota ke-3 yang “bersembunyi di sebalik gabungan cemar itu”.

Beliau menamakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang merupakan sebahagian daripada GPS, sebagai anggota ke-3 itu, dan berikrar untuk menumbangkannya dalam pilihan raya negeri akan datang.

Zharudin berkata, rakyat Sarawak tidak harus tertipu dengan kenyataan itu, selain menambah bahawa Chong membangkitkan isu kerjasaman PAS-Umno kerana “ketiadaan isu” dan juga untuk kepentingan politiknya sendiri.

“Antara perubahan besar yang diharapkan oleh rakyat Sarawak selepas pilihan raya umum ke-14 ialah pemulangan bayaran royalti minyak dan gas sebanyak 20%, tetapi kerajaan PH gagal menunaikan janjinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakyat Sarawak juga bimbang nasib mereka akan menjadi lebih buruk sekiranya kerajaan PH memerintah negeri itu.

“Sebagai contoh, banyak projek yang sepatutya berada di bawah kerajaan persekutuan, telah dilaksanakan oleh kerajaan GPS,” katanya.

Zharudin berkata, kerajaan persekutuan, melalui menteri kewangan, yang juga merupakan setiausaha agung DAP, menolak perlaksanaan cukai jualan 5% ke atas produk petroleum.

“Cukai itu perlu untuk kebaikan rakyat Sarawak. Jadi bagaimana kita boleh mempercayai DAP untuk mentadbir negeri kita?

“Rakyat Sarawak sedar bahawa DAP fokus untuk membantu komuniti Cina dan tidak peduli tentang keperluan komuniti pribumi di negeri ini,” katanya.

Tiada ulasan: