Rabu, 24 Julai 2019

Azmin, Hilman juga mesti ditahan reman - Setiausaha Anwar

MALAYSIAKINI

   

Setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dibebaskan semalam daripada tahanan reman, hari ini mempersoalkan siasatan polis terhadapnya.

Dalam satu kenyataan beliau berkata polis juga sepatutnya menahan reman Azmin Ali dan setiausaha politiknya, Hilman Idham berhubung video lucah yang dikaitkan dengan menteri hal ehwal ekonomi itu.

"Sekiranya undang-undang yang sama digunakan untuk semua pihak yang terlibat dalam siasatan ini, maka Azmin dan Hilman mesti direman juga.

"Mereka penting untuk fakta kes itu dan saya hanya boleh bayangkan kerjasama penuh mereka jika dalam tahanan sebagaimana polis menyifatkannya penting kepada perkembangan kes itu apabila ia menemubual suspek," katanya.

Farhash dalam kenyataannya turut mengakui beliau begitu marah dengan Azmin apabila dibebaskan semalam.

“Saya marah dengan Azmin. Lepas dibebaskan, saya menyerangnya secara lisan sebab jika kita sebagai rakyat Malaysia perlu hormati undang-undang, kenapa dia berselindung di balik keistimewaan yang dia ada?” soalnya lagi.

Katanya, siasatan itu meletakkan beliau seolah-olah seorang “ketua sorak” terhadap satu perlakuan homoseksual antara dua lelaki.
“Saya disiasat di bawah seksyen 377B) antara lain berkaitan persetubuhan luar tabii. Dalam kata lain, saya dituduh bertanggungjawab menyorak dua lelaki dewasa untuk melakukan aktiviti homoseksual sesama mereka- macamlah saya ini ketua kumpulan sorak pula,” katanya.

Katanya, pegawai penyiasat (IO) yang mengendalikan kes beliau juga kelihatan bersungguh-sungguh mengikut arahan daripada ‘orang atas’.

"Setiap kali saya tanya apalah gunanya penahanan itu, dia asyik-asyik menekankan bahawa dia hanya terima arahan daripada IGP (Ketua Polis Negara)," katanya.

Semalam, Farhash yang dibebaskan daripada tahanan polis mengakhiri ucapan kepada sekumpulan penyokongnya dengan laungan "Azmin semburit" selepas laungan "Reformasi” dan “Anwar for PM”.

Dia ditahan pada 16 Julai lalu bagi membantu siasatan berhubung video seks yang dikaitkan dengan Azmin bersama bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Haziq yang ditahan dua hari sebelum Farhash turut dibebaskan semalam.

Haziq merupakan individu yang mengaku mengadakan hubungan sejenis dengan Azmin selepas beberapa siri video seks diedarkan kepada ahli-ahli politik dan wartawan Jun lalu.
Pada 14 Jun, Hilman membuat laporan polis bagi menafikan laporan awal Haziq yang menuduhnya melakukan ugutan ketika pertemuan mereka di Putrajaya, tiga hari sebelum itu.

Azmin sebelum ini berulangkali mengatakan beliau tidak bersalah dan video berkenaan dakwanya adalah komplot jahat untuk memusnahkan karier politiknya.

Beliau juga mendakwa video itu dirancang pihak dari dalam PKR sendiri.

Wujudkan persepsi negatif terhadap Anwar

Mengulangi pendiriannya semalam, Farhash percaya penahanannya  untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap Anwar.

Hal itu katanya berdasarkan pemerhatiannya sepanjang empat hari direman, apabila sesetengah anggota polis turut tertanya-tanya kenapa dia ditahan.

Malah, dakwanya, soalan-soalan yang ditanyakan kepadanya juga tidak berkaitan dengan video itu atau penyebaran sebarang bahan terlarang, sebaliknya lebih tertumpu kepada nama-nama tertentu.
Ada ketikanya, beliau hanya dipanggil untuk bersembang dan menghabiskan masa dengan mereka.

“Politik ini seni persepsi dan tipu daya. Sesetengah ahli politik ini, tak berani nak bersuara dengan pemimpin, jadi mereka lebih suka guna jalan mudah.


“Penampan dalam kes ini sayalah, selaku setiausaha politik Anwar yang memang dikenali dengan sifat lantang bersuara," katanya.

'Tabiat lama dalam Malaysia Baru'


Setakat ini, seramai 11 orang telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung video berkenaan.

Mengulas lanjut, Farhash meluahkan kekecewaannya kerana "tabiat lama" iaitu mempergunakan kuasa untuk mempertahankan yang salah dan menghukum yang tidak bersalah masih diamalkan dalam Malaysia Baru.

“Sebab itu saya percaya, apabila undang-undang membawa ketidakadilan, reformasi menjadi tanggungjawab!" katanya.

Siang tadi, satu laporan dibuat kepada Lembaga Disiplin PKR terhadap Farhash atas laungan “Azmin semburit” yang dibuatnya semalam.

Zuraida Kamaruddin turut mentafsir aksi Farhash itu sebagai tindakan seseorang yang tidak mendapat maklumat di dunia luar lokap, dan “masih terbelenggu” dengan tanggapannya sendiri.


Tiada ulasan: