Selasa, 9 Julai 2019

Tiada lagi perkataan mandatori dalam hukuman kes dadah: PM

siti hafidah

 

 Hakim boleh pilih sama ada hukuman mati atau penjara lebih 10 tahun

PUTRAJAYA– Perkataan mandatori dalam kes dadah akan dihapuskan bagi membolehkan hakim membuat pilihan sama ada menjatuhkan mati atau penjara tidak kurang daripada 10 tahun, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, selama ini apabila seseorang itu didapati membawa dadah dalam jumlah tertentu, mereka akan dikenakan ‘mandatory death sentence’.

“Hukuman mati mandatori iaitu kuasa hakim kita ketepikan, bahkan undang-undang menidakkan hak hakim untuk menyatakan hukuman.

“Kita (kerajaan) hapuskan perkataan mandatori. Hakim boleh membuat pilihan sama ada hendak kenakan hukuman mati atau penjara tapi tidak boleh kurang daripada 10 tahun,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.


Dr Mahathir berkata, kerajaan mendapati bahawa masalah jenayah di Malaysia merunsingkan dan antara jenayah itu ialah penyalahgunaan dadah.

“Untuk ini kita ambil satu pendirian yang tegas (kenakan hukuman berat), walaupun kita didesak supaya menggugurkan perkataan mati mandatori,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, kerajaan berpendapat bahawa kebajikan anggota polis tidak mencapai tahap yang baik pada masa ini.

“Oleh itu Kementerian Kewangan akan membekalkan wang yang cukup untuk memperbaiki rumah-rumah dan berek yang diduduki pegawai dan anggota polis,” katanya. – Bernama


Tiada ulasan: