Selasa, 23 Julai 2019

Guru naik hantu, tendang polis

Siti Nor Hidayatidayu Razali
 


KOPERAL polis wanita yang baru lima bulan melahirkan anak, ditendang di perut oleh guru wanita di Kaunter Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, semalam.

Kejadian berlaku pada 3.30 petang menyebabkan anggota itu kesakitan dan dirujuk di Hospital Pasir Mas (HPM).

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, ketika kejadian, guru berusia 41 tahun itu hadir ke balai dan mendakwa anaknya dimarahi polis selepas terbabit kemalangan.

Katanya, dia berang dan meluahkan kemarahan dengan menarik tudung polis wanita serta menolaknya dengan kasar.

“Mangsa cuba sabarkan wanita itu namun, dia lebih agresif dengan menendang di bahagian perut mangsa yang baru melahirkan anak, lima bulan lalu.

“Leher mangsa turut dipegang selama 10 minit dan pada masa sama, dua anggota polis membantu melepaskan tangan guru itu.

“Pada awalnya, mangsa hanya mahu membantu wanita itu mencari anggota yang didakwa memarahi anaknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdullah berkata, mangsa membuat laporan untuk tindakan lanjut, sebelum guru wanita itu ditahan pada 9 malam.

Katanya, dia dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil pada 11 malam hari sama dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Saya ingin menasihati orang ramai yang berurusan di kaunter awam supaya mengikut peraturan yang ditetapkan dan tidak bertindak di luar kawalan,” katanya.

Tiada ulasan: